LIGA SUPER MSIA
Abu Bakar adakan pertemuan dengan semua import baru
Abu Bakar Fadzim mengadakan pertemuan hati ke hati dengan semua lima pemain import musim ini untuk menerangkan kepentingan baki lapan perlawanan Liga Super 2019 kepada PKNP FC.
Menurutnya, kecuali Yashir Pinto Islame, empat lagi iaitu Pedro Victor Calil Sandoval, Amani Aguinaldo, Giancarlo Lopes Rodriguez dan Ramon Da Silva adalah muka baru dalam kancah Liga Malaysia.
"Saya sudah mengadakan perbincangan dengan mereka dan menerangkan tentang misi dalam baki lapan perlawanan ini.
Iklan
"Saya nyatakan tentang hasrat dan harapan presiden dan Menteri Besar Perak yang mahu melihat PKNP FC terus kekal dalam Liga Super musim akan datang.
"Justeru, kami mempunyai misi besar dalam semua perlawanan, bermula dengan pertemuan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) di tempat sendiri, Jumaat ini," katanya.
Jurulatih itu sedar tugas berat yang menanti anak buahnya yang belum pernah menang ke atas juara Liga Super lima musim itu.
"Sejak menjejak kaki ke Liga Super dua tahun lalu, kami tidak pernah menang ke atas JDT.
"Semua orang tahu kehebatan pasukan Harimau Selatan itu dan kami memang tidak diberi sebarang peluang, Jumaat ini.
"Namun, pemain PKNP FC akan mencuba habis-habisan untuk memberi tentangan biarpun ia ibarat bermimpi di siang hari, " katanya.
Abu Bakar berkata pasukan itu telah kembali menjalani sejak Sabtu lalu selepas bercuti selama tiga hari sempena hari raya Aidilfitri.
PKNP FC kini ibarat telur di hujung tanduk kerana berada di kedudukan ke-11 dalam liga 12 pasukan itu.
"Kami akan cuba sedaya-upaya untuk menyelamatkan pasukan daripada terjerumus ke Liga Perdana 2020 nanti.
"Kami mahu kekal dalam liga elit ini musim depan. Peluang masih ada. Saya berharap pemain merebutnya," ujarnya lagi.
Must-Watch Video



