Dalam saingan di Pusat Akuatik Tokyo itu, penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri, 22, menamatkan saingan di tangga keempat dengan 326.15 mata keseluruhan dan hanya dipisahkan 17.6 mata dengan pemenang pingat gangsa dari Amerika Syarikat, Krysta Palmer.
Ramai beranggapan bahawa Nur Dhabitah selayaknya menduduki tangga ketiga saingan itu tetapi Brooker menegaskan bahawa ia adalah sebahagian daripada adat pertandingan selepas kesemua penerjun memberikan aksi terbaik mereka, khususnya di peringkat final.
"Saya langsung tidak memberikan tumpuan kepada juri, saya tidak akan melakukannya dalam kejohanan kerana ia di luar kawalan saya," katanya kepada Nadi Arena.
"Saya hanya boleh katakan yang dia (Nur Dhabitah) telah melakukan lima terjunannya dengan amat baik.
"Terjunan pertamanya agak goyah, terjunan keduanya lebih baik dan terjunan ketiganya baik. Saya amat-amat gembira dengan dua terjunan terakhirnya kerana ia terjunan terbaiknya dalam kejohanan ini.
"Ketiga pemenang pingat hari ini memang layak memenanginya, Dhabitah melakukan terjunan dengan amat baik dan amat konsisten.
"Penerjun Amerika itu mungkin sedikit lebih bagus daripadanya dan layak memenangi pingat gangsa," katanya.
Dalam aksi final itu, Jaguh China, Shi Tingmao, menepati ramalan selaku pemenang pingat emas dengan 383.50 mata manakala rakan senegaranya, Wang Han (348.75 mata), memenangi pingat perak.
Fourth in the world! Well done, Nur Dhabitah! #Tokyo2020 #GanbatteMalaysia #SokongMalaysia pic.twitter.com/cQyeIvh9rr
— Stadium Astro ? (@stadiumastro) August 1, 2021