Skip to main content

Bola Sepak

Euro 2020: Denmark seru lebih menyengat berdepan Russia

denmark.jpg
Denmark perlu menunjukkan kualiti lebih jitu di depan gawang dalam pertembungan dengan Russia jika berhasrat menghidupkan peluang melolosi Kumpulan B, Euro 2020.

Pasukan kendalian Kasper Hjulmand itu hanya menjaringkan satu dalam 43 percubaan dalam edisi kali ini, sementara lawan mereka membuat tujuh percubaan tetapi tiga daripadanya berjaya disudahkan. 

Selepas tewas 0-1 kepada Finland -- perlawanan yang dibayangi serangan jantung yang dialami Christian Eriksen -- dan 1-2 kepada Belgium untuk terhumban ke tangga tercorot. 

Mereka mampu mendaki tempat kedua jika mengalahkan Russia manakala Finland pula tewas kepada Belgium termasuk perlu bergantung kepada angka jaringan dalam dua perlawanan itu sambil kemenangan boleh menjamin tempat ketiga.

Berikutan perkembangan positif mengenai kesihatan Eriksen yang sudah pun keluar dari hospital, fokus Hjulmand sekarang ialah memburu tiga mata ketika menyambut kunjungan Russia di Copenhagen.

"Tidak kira apa sekalipun, kami akan turun dan berusaha memenangi perlawanan," katanya. 




"Ini akan menjadi perlawanan sukar yang luar biasa ketika melawan Russia.

"Mereka datang ke Parken dengan mengintai keputusan yang boleh dijadikan modal untuk mereka mencapai sesuatu. Kami tidak boleh terlalu memaksakan. Kami cuma perlu berikan saingan."

Russia sudah melupakan kekalahan 3-0 kepada Belgium dan memiliki reputasi baik ke atas Finland dalam pertemuan terdahulu dan mampu mara ke pusingan 16 menerusi kemenangan pada awal pagi Selasa ini sementara keputusan seri juga mungkin sudah memadai.

Pelawat mendapat rehat tambahan sehari berbanding Denmark, namun ketua jurulatih, Stanislav Cherchesov, menegaskan akan ada lebih banyak elemen yang akan dipertaruhkan daripada soal kecergasan sahaja.

"Ia boleh menjadi faktor penting dalam kejohanan utama tetapi tidak semestinya yang paling utama," kata Cherchesov. 

"Yang penting adalah taktik, pasukan, pendekatan kami.

"Saya tidak meragui kemampuan untuk menjelmakan tahap terbaik. Tugas kami adalah melakukan tugas dengan baik dan mendapatkan hasilnya."


 

Advertisement

Must Watch Video