Skip to main content

Bola Sepak

Covid-19: Bundesliga lanjutkan penundaan

bundesliga.jpg
Bundesliga melanjutkan penundaan perlawanan hingga 2 April depan dan bersedia untuk menghabiskan musim 2019-20 di stadium tertutup bagi memastikan kelab-kelab dapat bertahan ketika mengharungi ujian ekonomi.

Saingan di Jerman muncul liga terakhir dalam kalangan "lima kancah utama di Eropah" dalam usaha menyekat wabak koronavirus baru (Covid-19) daripada terus merebak dengan hanya menggantung perlawanan hujung minggu lalu.

Bagaimanapun, selepas pertemuan semalam, Liga Bolasepak Jerman (DFL) mengesahkan perlawanan berikutnya turut ditangguhkan sebelum memutuskan langkah seterusnya ketika perlawanan antarabangsa akhir bulan ini.

Langkah itu sejajar dengan Liga Perdana Inggeris (EPL), LaLiga dan Serie A yang telah mengumumkan penggantungan sehingga hujung minggu pertama bulan depan manakala Ligue 1 ditangguhkan sehingga notis selanjutnya.

Bercakap dalam sidang media di Frankfurt, Ketua Eksekutif DFL, Christian Seifert, menjelaskan langkah menghabiskan baki perlawanan musim ini tanpa peminat mungkin boleh membantu kelab daripada segi kewangan.

"Tiada siapa yang suka dengan perlawanan diadakan di gelanggang tertutup tetapi bagi kebanyakan kelab, ini mungkin satu-satunya cara untuk membolehkan mereka terus bersaing," katanya.

"Saya sedar bahawa bola sepak dilihat sebagai perniagaan bernilai berbilion dolar, tetapi di sebalik sukan itu sendiri, ia mewujudkan 56,000 peluang pekerjaan dalam setiap perlawanan.

"Tanpa penajaan dan pendapatan televisyen, pekerjaan dan kewujudan kelab berada dalam bahaya."

Persatuan Bolasepak Eropah (UEFA) akan mengadakan sidang pada video hari ini bagi membincangkan hala tuju Liga Juara-Juara (UCL), Liga Europa dan Euro 2020, untuk mengimbangi saingan domestik yang dianggap sebagai agenda utama.

Perlawanan UCL dan Liga Europa minggu ini termasuk aksi Bayern Munich menentang Chelsea manakala Bayer Leverkusen dan Eintracht Frankfurt masing-masing berhitung dengan Rangers dan Basel turut ditangguhkan.

 

Advertisement

Must Watch Video