Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique, yakin pasukannya mampu kembali ke prestasi terbaik menjelang pertemuan menentang Chelsea dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi esok.
PSG dijadual menerima kunjungan Chelsea di Parc des Princes di mana ini pertemuan pertama kedua-dua pasukan itu sejak kekalahan 0-3 PSG kepada kelab England itu dalam perlawanan akhir Piala Dunia Kelab tahun lalu.
Advertisement
Menurut Enrique, skuadnya tidak mempunyai sebarang keraguan untuk kembali menampilkan aksi terbaik seperti musim lalu apabila menjuarai UCL buat kali pertama dalam sejarah kelab.
“Kami langsung tidak mempunyai sebarang keraguan.
“Kami kini memasuki fasa paling penting musim ini dan perlu bersedia menghadapi peningkatan tahap saingan,” katanya.
Bagaimanapun, PSG dilihat berdepan musim yang mencabar apabila beberapa pemain bergelut dengan prestasi dan kecergasan sepanjang kempen 2025/26.
Kekalahan 1-3 kepada AS Monaco minggu lalu menyaksikan PSG hanya mendahului satu mata di puncak liga berbanding RC Lens dalam saingan Ligue 1.
PSG juga menamatkan saingan peringkat liga Liga Juara-Juara di tangga ke-11 selepas hanya memenangi satu daripada lima perlawanan terakhir sebelum mara tipis menerusi pusingan perlawanan penentuan (play-off).
Namun Enrique percaya pertemuan dengan Chelsea mampu menaikkan semangat pasukannya.
“Semua pasukan England adalah pasukan yang hebat.
“Kami mengenali Chelsea dengan baik sejak bertemu mereka musim lalu, dan kami tahu betapa sukarnya perlawanan seperti ini,” katanya.
Dalam masa sama, Enrique berpendapat mempertahankan kejuaraan mungkin tidak sesukar usaha memenanginya buat kali pertama.
“Saya fikir memenanginya buat kali pertama adalah lebih sukar.
“Kali kedua juga tidak mudah, tetapi kami tahu kami mampu melakukannya dan itulah yang akan kami cuba capai,” katanya lagi.