Mikel Arteta mendedahkan bahawa dia telah mengadakan satu mesyuarat bersama pemain bagi mengurangkan bahang tekanan sambil merayu kepada peminat Arsenal yang cemas agar menikmati 'keseronokan' ini berikutan kekalahan kepada Manchester United, awal minggu ini.
Pemburuan Arsenal untuk gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) menerima tamparan hebat susulan kekalahan 2-3 kepada seteru ketat itu di Stadium Emirates untuk skuad barisan kendalian Arteta tersebut hanya mengumpul dua mata daripada tiga perlawanan terakhir.
Advertisement
Bagaimanapun, Arsenal kekal empat mata di puncak liga dan akan menentang Kairat Almaty di tempat sendiri awal pagi esok dalam usaha mengekalkan rekod bersih di pentas Eropah musim ini.
Mereka juga berada di landasan tepat meniti perlawanan akhir Piala Liga Inggeris (EFL) dan kekal berjuang dalam Piala FA.
Justeru, mesyuarat pada Isnin lalu bukan sesuatu yang menggemparkan dan tiada keperluan untuk Arteta menekan butang panik kerana langkah tersebut sudah diterapkan beberapa kali pada musim ini.
"Kami mengamalkannya setiap tiga atau empat minggu.
"Sangat penting untuk memahami realiti berbanding perspektif, dan kadangkala anda perlu melihat dengan mikroskop dan kemudian meletakkan teleskop pula. Anda perlu dapat melihat segalanya dengan jelas.
"Saya memberitahu pemain betapa bagusnya mereka, betapa bersyukurnya kami dapat berkongsi setiap hari dengan mereka dan hanya untuk memastikan bahawa kami menikmati dengan penuh keyakinan, bahawa ia akan berlaku kerana ini adalah detik buat kami dan kami benar-benar menginginkannya."