Situasi tujuh pemain yang dibenarkan beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M) sebagai pemain tempatan, namun tidak layak mewakili Harimau Malaya bukanlah satu kesalahan Malaysia Football League (MFL).
Bekas pengurus Selangor, Zakaria Rahim, menegaskan badan pentadbir liga itu tidak mempunyai kuasa untuk menghalang pemain terbabit kerana mereka masih memenuhi syarat pendaftaran sebagai pemain tempatan.
Tujuh pemain kembali dibenarkan menyertai semua aktiviti bola sepak bermula 1 November selepas tamat menjalani penggantungan 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Perkara itu dimaklumkan MFL menerusi pekeliling bertarikh 30 Oktober lalu, selepas pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Xisco Munoz, menyifatkan kepulangan pemainnya sebagai perkembangan positif buat Harimau Selatan.
"Memang kelab yang dapat khidmat mereka akan dapat kelebihan, kita nampak perkara itu selepas mereka wakili negara sebelum ini.
"Jika saya sebagai pengurus, jika kelab ada kemampuan untuk bayar gaji dan dengan status pemain tempatan, saya sendiri akan ambil pemain ini.
"Tetapi isu sekarang mereka sudah tidak berkhidmat kepada negara ini, tiada guna jadikan mereka pemain tempatan, negara juga dalam situasi nak membangunkan pemain tempatan, ini masanya dengan FAM berwajah baharu.
"Pada paringkat ini, FAM, MFL tidak boleh lakukan apa-apa kerana akur dengan KDN.
"Kelab lain jika tidak puas hati saya tidak tahu apa yang mereka perlu buat, bukannya buat protes kepada MFL. Dalam peraturan sudah katakan selagi mereka pemain Malaysia, ada kad pengenalan, mereka adalah rakyat Malaysia, boleh guna kuota itu. Tiada apa yang kelab boleh lakukan." katanya.
Kebenaran kembali beraksi di peringkat kelab tidak bermakna mereka secara automatik layak mewakili Harimau Malaya yang masih tertakluk kepada peraturan dan keputusan FIFA.
Badan induk bola sepak dunia itu sebelum ini mengenakan hukuman terhadap tujuh pemain berkenaan susulan pemalsuan dokumen kelayakan mewakili Malaysia.