Skip to main content

Sukan

Tiada perubahan RTG, Perdana Menteri terkejut Hakim Danish main motor seawal 7 tahun

Taufiq

Tiada sebarang perubahan akan dilakukan terhadap struktur dan perancangan Program Road to Gold (RTG) dalam usaha mengejar pingat emas pertama Malaysia menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari, menegaskan kerajaan komited untuk meneruskan rangka kerja sedia ada bagi memastikan sasaran bersejarah itu tidak terpesong daripada landasan asal.

Advertisement

Tambahnya, satu mesyuarat akan diadakan bersama ahli jawatankuasa sedia ada dalam masa terdekat bagi menentukan hala tuju yang lebih jelas, selari dengan misi memburu emas pertama dalam kejohanan paling berprestij itu.

"Kami akan terus berbincang untuk memastikan RTG dapat berjalan dengan baik dan menggapai sasaran yang ditetapkan.

"Kami akan mengumumkan kenyataan jika ada perubahan dibuat.

"Saya akan berjumpa dalam masa terdekat untuk terus memperkasa program ini," katanya.

Dr. Taufiq turut berkongsi inti pati pertemuannya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli, yang menerima sokongan penuh menjelang permulaan saingan Grand Prix (GP)Thailand di Litar Antarabangsa Chang Ahad ini.

"Perdana Menteri terkejut Hakim Danish sudah berlumba pada usia tujuh tahun.

"Itu adalah satu kebanggaan.

"Itu petanda penting bahawa kita harus memperkuat pembangunan akar umbi untuk melahirkan lebih ramai Hakim Danish," tambahnya.

Dr. Taufiq ditemui selepas melancarkan MyATHLETE CENTRE (Hab kesejahteraan holistik atlet) dan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama rakan kerjasama strategik, MACE Partners pagi tadi.

Must Watch Video