Skip to main content

Sukan Lasak

Terengganu 4X4 Merdeka Challenge 2026: Dua pasukan pertahan kejuaraan

Terengganu 4X4 Merdeka Challenge 2026: Dua pasukan pertahan kejuaraan

Rubber Tipper dan Andak TXV @ AJFIX mengekalkan penguasaan masing-masing apabila kedua-dua pasukan muncul juara dalam kategori masing-masing edisi keenam Terengganu 4x4 Merdeka Challenge di Bandar Baru Kuala Nerus, di sini.

Rubber Tipper mempertahankan kejuaraan kategori Short Wheel Base (SWB), manakala Andak TXV @ AJFIX pula terus unggul dalam kategori Long Wheel Base (LWB) selepas kedua-duanya menamatkan saingan dua hari perlumbaan dengan keputusan cemerlang.

Bagi kategori SWB, Rubber Tipper mengumpul 441 mata menerusi lapan peringkat perlumbaan (SS) untuk mengetepikan 26 pencabar lain.

Pasukan yang berpangkalan di Merapoh, Pahang itu sekali lagi mempertaruhkan jentera Daihatsu Feroza 1.6 SE yang dipandu Mohd Fadly Deraman bersama pemandu arah Mohd Fadil Mat Ayub.

Pengurus pasukan Rubber Tipper, Noor Ashrol Mohd Noor, berkata kemenangan kali ini hadir dalam keadaan berbeza berbanding edisi lalu apabila pelumbanya terpaksa berdepan cuaca panas dan berjerebu.

“Tahun lepas kami beraksi dalam cuaca basah sehinggakan terpaksa membalut karburator dengan plastik namun kali ini kami terpaksa menempuhi cuaca bahang panas berjerebu ketika ini. Cuaca amat menduga kami untuk menamatkan setiap satu perlumbaan kali ini.

“Litar di Kuala Nerus ini benar-benar memaksa kami berusaha lebih keras berbanding tahun lepas. Begitu juga saingan daripada pelumba-pelumba lain yang kian meningkat malah ada di antara mereka berjaya mendapat kutipan mata penuh mendahului kami di beberapa SS,” katanya.

Sementara itu, Andak TXV @ AJFIX mengesahkan kejuaraan kategori LWB selepas mengumpul keseluruhan 761 mata untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi pada edisi lalu.

Pasukan dari Selangor itu menurunkan tiga jentera lumba seperti edisi sebelumnya, dengan Jeep Cherokee sekali lagi menjadi taruhan utama dalam saingan kategori LWB.

Pengurus pasukan, Mohd Foudzi Samat, berkata kejayaan mempertahankan kejuaraan itu bukan mudah berikutan karakter litar yang mencabar sepanjang perlumbaan.

“Seperti mana edisi lalu kami mempertaruhkan tiga jentera lumba untuk setiap kategori dan untuk edisi kali ini Jeep Cherokee kami sekali lagi mempertahankan kejuaraan untuk kategori LWB ini.

“Berentap untuk kategori LWB ini bukan mudah seperti mana SWB dengan bentuk cabaran litar yang lebih mudah memberi kelebihan bagi lain-lain kategori namun kami tetap bersyukur kerana empat perlumbaan (SS) itu kami berjaya mengutip mata penuh,” katanya selepas tamat perlumbaan.

Edisi keenam Terengganu 4x4 Merdeka Challenge menyaksikan 56 jentera lumba berentap dalam tiga kategori menerusi lapan SS bagi merebut kejuaraan tahun ini.


Perlumbaan itu dianjurkan Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah (UT 4x4) bersama Kelab Terjoh! 4x4 Kuala Terengganu sebagai rakan teknikal, selain mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Tourism Malaysia dan Kerajaan Negeri Terengganu.

Anda mungkin berminat dengan

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Related Topics

Must Watch Video

Advertisement