Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, mempamerkan aksi bertenaga ketika mengatasi gandingan Taiwan, Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh, untuk ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Korea Selatan di Stadium Jinnam sebentar tadi.
Turun selaku pilihan ketiga, gandingan negara itu, bagaimanapun, diberikan cabaran cukup berat sepanjang set pertama dan sentiasa berada di belakang.
Namun, ketika kedudukan terikat 22-22, Wei Chong dan Kai Wun ternyata memiliki ketenangan untuk meraih dua mata terakhir untuk memenangi set berkenaan.
Aksi dalam set kedua pula menyaksikan penguasaan penuh beregu itu sehingga pada satu ketika jauh mendahului 16-5 sebelum mengesahkan kemenangan 21-12 selepas secara keseluruhan bertarung selama 33 minit.
Mereka seterusnya akan menantikan pemenang di antara dua beregu Jepun, Takuto Goto-Tsubasa Yoshida dan Haruki Kawabe-Kenta Matsukawa, bagi penentuan ke separuh akhir esok.