Beregu campuran baru negara Chen Tang Jie-Clarissa San, hampir mengejutkan beregu pilihan kedua tuan rumah, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, sebelum tewas dalam aksi pusingan kedua Kejohanan Badminton terbuka China di Jiangsu sebentar tadi.
Berdepan beregu di rangking kedua dunia itu, Tang Jie dan Clarissa mempamerkan aksi terpuji apabila sentiasa mendahului sepanjang set pertama sebelum menang mudah 21-11.
Bagaimanapun, tekanan sebenar mula dirasai mereka dalam set kedua, di mana selepas terikat 13-13, pasangan negara itu tidak lagi dapat mengejar lawan untuk tewas 14-21.
Aksi dalam set ketiga agak menjanjikan buat Tang Jie dan Clarissa untuk mereka mendahului selesa 13-8 tetapi selepas lawan berhasil mengejar kedudukan 15-15, mereka terpaksa akur gagal ke suku dengan kekalahan tipis 19-21 selepas secara keseluruhan bertarung selama 54 minit.