Wakil negara, Johor Darul Ta'zim (JDT), tersingkir di tangan juara bertahan, Al-Ahli Saudi, selepas tewas 1-2 dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Jeddah, Arab Saudi sebentar.
Al-Ahli menguasai sebahagian besar separuh masa pertama dan kerap mengancam kubu pelawat tetapi barisan pertahanan JDT kental bertahan, terutama penjaga gol, Andoni Zubiaurre, yang sentiasa dapat membaca gerakan lawan dalam kawasannya.
Advertisement
Harimau Selatan mencipta kejutan apabila berhasil memecahkan kebuntuan menerusi satu gerakan serangan balas, di mana Jairo da Silva bijak mencuri bola sebelum melakukan lintangan yang membuka peluang untuk Marcos Guilherme melakukan percubaan dan memaksa Ali Majrashi terjaring bola ke gawang sendiri pada minit ke-19.
Insiden tidak diingini berlaku pada minit ke-37 apabila Jairo mengalami kecederaan serius dan terpaksa diusung keluar padang untuk mendapatkan rawatan segera selepas kepalanya menerima sepakan daripada gerakan akrobatik Ali Majrashi.
Ali Majrashi kemudian dilayangkan kad merah untuk Al Ahli terpaksa beraksi dengan 10 pemain bagi baki permainan.
Bagaimanapun, Al Ahli berhasil mengikat kedudukan menerusi penyudah Franck Kessie dalam waktu kecederaan sebelum ke bilik persalinan.
Dalam babak kedua, juara bertahan berada di depan buat kali pertama menerusi penyudah jarak jauh gemilang Galena pada minit ke-54.
JDT kemudian merangka serangan bertali arus ke arah gawang Edouard Mendy tetapi bekas bintang Chelsea itu sentiasa tangkas menyelamatkan keadaan untuk memastikan Al-Ahli sekali lagi ke separuh akhir kejohanan kelab terbesar Asia itu.