Kejayaan skuad sepak takraw negara menamatkan kemarau emas 34 tahun dalam acara regu berpasukan ternyata bukan tugas mudah, namun cabaran sebenar kini menanti pasukan untuk mengekalkan kejuaraan di laman sendiri pada Sukan SEA Malaysia 2027.
Bekas perejam negara, Azlan Mubin, menegaskan konsistensi prestasi pasukan hanya dapat dinilai sekiranya pemain tampil dengan aksi terbaik, sambil terus mengenggam emas dalam pentas Sukan Asia dan Piala Dunia tahun depan.
Advertisement
Apa yang pasti, Thailand tidak akan berdiam diri selepas kekalahan pada Ahad lalu.
Kekuatan mentaliti pemain negara perlu ditagih untuk mengekalkan Malaysia selaku kuasa dominan sukan sepak takraw.
Tambahnya, perjalanan mengekalkan kejuaraan bermula dengan cabaran besar dalam Sukan Asia dan Piala Dunia tahun depan di Kuala Lumpur.
“Kalau kita boleh konsisten menang, kita akan menambah kegerunan pasukan, bukan hanya untuk hari ini atau semalam, tetapi kita mahu buktikan kita kuasa sepenuhnya dalam sepak takraw.
"Daripada segi mentaliti pemain dan pemain muda yang ada sekarang, ini adalah motivasi untuk mereka bersedia menghadapi cabaran,” jelasnya.
Menurut Azlan, gabungan pemain muda dan senior seperti Farhan Adam dan Zulkifli Razak memberikan kelebihan kepada pasukan.
Pemain senior berjaya membuktikan pengalaman dan semangat juang mereka, manakala pemain muda pula perlu diberi peluang untuk mengambil slot penting, bagi membolehkan skuad negara boleh merancang ke hadapan menjelang Sukan SEA di Kuala Lumpur.