Skip to main content

Sukan Lasak

Sukan permotoran lasak 4X4 dimensi baru produk pelancongan Terengganu

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

4x4

Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan (COE) Negeri Terengganu 2026 yang baru dilancarkan mencipta dimensi baru setelah menyenaraikan penganjuran sukan permotoran lasak pacuan empat roda (4x4) sebagai salah satu dari 13 acara utama untuk menyemarakkan lagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) yang menjadi agenda nasional bermula pada tahun hadapan.

Rentetan momentum sukan permotoran lasak yang telah mencipta sensasi tersendiri sepanjang tahun ini di mana penganjuran tahun ke-5 Terengganu 4x4 Merdeka Challenge di Bandar Baru Kuala Nerus pada Ogos lalu yang berjaya menghimpunkan 152 jentera lumba melibatkan 304 penyertaan dari seluruh negara menjadi penanda aras terbaik untuk diangkat sebagai produk pelancongan negeri ini.

Advertisement

Menambah momentum, terkini pasukan GG 4x4 yang berpangkalan dari negeri ini juga turut telah melakar sejarah di pentas kejuaraan dunia setelah meraih podium tempat ke-3 Rainforest Challenge Grand Final 2025 yang telah melabuhkan tirai di Gua Musang, Kelantan pada 10 Disember lalu.

"Sukan lasak pacuan empat roda di negeri Terengganu ini mempunyai sejarah yang panjang sejak beberapa generasi terdahulu dan kini telah diangkat sebagai salah satu produk pelancongan negeri ini mencipta satu lembaran baru buat semua komuniti mahupun penggiat sukan lasak 4x4 ini khususnya di Terengganu.

"Secara peribadi, saya tidak melihat pengiktirafan ini ianya bersifat ekslusif sepenuhnya kepada kami selaku penganjur di mana sebenarnya ekosistem sukan ini di negeri Terengganu saling bekerjasama dengan lain-lain kelab mahupun komuniti sukan 4x4 untuk turut sama mengangkat sukan ini sebagai produk pelancongan negeri Terengganu.," ujar Muhammad Muzzammil Mokhetar selaku pemegang taruh utama penganjuran Terengganu 4x4 Merdeka Challenge yang telah bermula sejak pada tahun 2023.

Mengulas lanjut, beliau yang juga merupakan presiden Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah (UT4x4) menjelaskan kunci kejayaan penganjuran selama ini adalah merupakan hasil kerjasama penganjuran dengan beberapa kelab tempatan seperti Kelab Terjoh! 4x4 Kuala Terengganu dan GG 4x4 yang hadir dengan pengalaman serta kepakaran masing-masing khususnya melibatkan teknikal penganjuran.

Seterusnya sebagai sebagai usaha untuk menarik lebih ramai jumlah kehadiran pelancong ke negeri ini mahupun untuk mempromosikan sukan lasak pacuan empat roda ini di kalangan komuniti rekreasi,  Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah (UT4x4) bersama beberapa kelab-kelab pacuan empat roda tempatan kini turut sedang merangka satu program ekspedisi sejauh 60KM menempuhi hutan belantara di Hulu Terengganu.

Pada majlis yang sama turut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris melihat kerjasama strategik di antara Jabatan Pelancongan Negeri dan Kebudayaan Negeri Terengganu bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia memberi tambah nilai yang besar untuk turut sama menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026(TMM 2026) dengan pelbagai produk pelancongan dari negeri pantai timur ini.

Untuk rekod, Terengganu 4x4 Merdeka Challenge 2026 merupakan sebahagian dari 13 acara utama dan lebih dari 100 acara sampingan yang telah diumumkan dalam satu majlis yang telah berlangsung dengan penuh meriah di sebuah hotel di sini.

Sukan lasak pacuan empat roda (4x4) di Terengganu diiktiraf oleh sebagai produk pelancongan baharu yang mampu untuk merancakkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang menjadi agenda nasional pada tahun hadapan.

Topik Berkaitan

Must Watch Video