Meskipun dianggap cemerlang susulan perjalanan membanggakan bagi pasukan berbasikal trek para negara, ketua jurulatih, Rizal Tisin, tidak mahu berpuas hati awal dengan apa yang dicapai ketika ini.
Walaupun kejayaan emas dipacu sang juara dunia, Yusof Hafizi dan juga duo wanita, Nur Suraiya Muhamad Zamri dan Farina Shawati Mohd Adnan, Rizal ingin melihat terlebih dahulu apa yang mampu anak buahnya berikan dalam aksi hari terakhir dengan tiga lagi acara bakal mereka harungi Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Tagaytay, Filipina.
Advertisement
"Secara keseluruhan, saya berpuas hati 80 peratus dan kami akan kaji balik kekurangan mana-mana atlet.
"(Lagipun) selepas Sukan Para ASEAN, persediaan kami (berlangsung) lima minggu sebelum ACC ini. Atlet sudah berikan komitmen cuma sesetengah daripada mereka untuk berikan segala usaha terbatas kerana berpuasa.
"Tapi apa mereka berikan dalam ACC ini agak memberangsangkan," katanya di Nadi Arena.
Sementara itu, Rizal juga berkongsi Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2026 bukanlah platform terbaik buat anak buahnya berada di prestasi kemuncak.
Ini juga merupakan persiapan sebelum menghadapi ujian sebenar dalam saingan temasya dengan tumpuan utama pastinya Sukan Asia Aichi-Nagoya pada September depan.
"Selepas ACC, Sukan Asia adalah matlamat kedua saya.
"Kami ada tujuh bulan lagi sebelum hadapi Sukan Asia, saya harap perancangan kami semuanya berjalan lancar," katanya.