Skip to main content

Sukan Asia

Sukan Asia: Nagoya dilanda banjir, kontinjen Malaysia pantau situasi

Sukan Asia: Nagoya dilanda banjir, kontinjen Malaysia pantau situasi

Kurang dua minggu menjelang pembukaan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, tumpuan kini terarah kepada aspek keselamatan selepas hujan lebat luar biasa mengakibatkan banjir di beberapa kawasan sekitar bandar raya itu.

Kontinjen Malaysia mengambil langkah berjaga-jaga dengan terus memantau perkembangan cuaca dan keadaan semasa di Nagoya, termasuk berhubung rapat dengan pihak penganjur bagi mendapatkan maklumat terkini.

Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Azlan Iskandar, memaklumkan pihak sekretariat menerima perkembangan terbaharu daripada pasukan penganjur dan akan terus menilai keadaan di lapangan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Katanya, situasi berkenaan masih perlu dipantau secara berterusan, khususnya dari aspek keselamatan atlet dan pegawai kontinjen.

“Kami menerima kemas kini pagi ini dan sentiasa berhubung dengan pasukan Sukan Asia di sana.

“Kami akan terus menerima perkembangan sepanjang hari, tetapi masih terlalu awal dan kami perlu menilai situasi di lapangan,” katanya.

Hujan lebat yang melanda Nagoya pada Selasa menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air, manakala perkhidmatan pengangkutan awam turut terjejas.

Malah, kira-kira 400 atlet dan pegawai yang sudah berada di Nagoya sebelum ini turut dipindahkan sementara ke kawasan lebih tinggi sebagai langkah keselamatan sebelum dibenarkan kembali ke penginapan masing-masing.

Beberapa venue pertandingan turut dilaporkan mengalami kebocoran air hujan, namun pihak penganjur menegaskan keadaan tidak menjejaskan kelangsungan temasya buat masa ini.

Datuk Bandar Nagoya, Ichiro Hirosawa, turut memberi jaminan Sukan Asia tetap akan berlangsung mengikut jadual dari 19 September hingga 4 Oktober.

Bagi kontinjen Malaysia, keselamatan kekal menjadi keutamaan, dengan sebarang perkembangan baharu akan dinilai sebelum atlet memulakan persiapan masing-masing di Nagoya.

Dalam masa sama, Azlan yakin pihak berkuasa Jepun serta penganjur akan mengambil segala langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan semua kontinjen terjamin.

Situasi itu hadir ketika Malaysia bersama lebih 40 negara dan wilayah lain bakal menghantar atlet terbaik masing-masing ke temasya edisi kali ini, sekali gus menjadikan aspek kesiapsiagaan dan keselamatan antara perkara utama yang terus diberi perhatian menjelang saingan bermula.

 

Anda mungkin berminat dengan

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

Related Topics

Must Watch Video

Advertisement