Kontinjen negara kini berpeluang merebut antara pingat emas Sukan Asia paling bernilai dalam sejarah apabila skuad hoki padang lelaki Malaysia hanya selangkah lagi daripada mencipta sejarah di Aichi-Nagoya 2026.
Speedy Tigers akan turun di pentas final dengan satu misi besar -- menamatkan penantian emas Sukan Asia yang tidak pernah dimenangi Malaysia sejak penyertaan pertama pada 1958.
Sepanjang 18 penampilan di temasya itu termasuk edisi Aichi-Nagoya, pencapaian terbaik skuad hoki lelaki negara setakat ini adalah dua pingat perak dan enam gangsa.
Kini, peluang untuk menulis sejarah berada di depan mata.
Jika berjaya meraih emas, ia bukan sahaja menjadi pingat emas pertama Malaysia dalam hoki lelaki di Sukan Asia, malah mengangkat nama Brendon Carolan sebagai jurulatih pertama yang membawa skuad negara meraih kejayaan itu.
Pelantikan Carolan pada saat akhir sememangnya mengundang tanda tanya, malah beberapa percaturan jurulatih kelahiran Afrika Selatan itu turut dipersoalkan pada peringkat awal.
Antaranya keputusan memanggil semula Zaimi Mat Deris yang sebelum itu tiada dalam program, sebelum diberikan kepercayaan sebagai penjaga gol nombor satu negara.
Namun, keputusan itu akhirnya membuahkan hasil apabila Zaimi menjadi antara watak penting dalam perjalanan Speedy Tigers ke final.
Selain itu, Carolan turut memberikan kepercayaan kepada Aminuddin Mohd Zain dan Faris Harizan, dengan kedua-duanya memainkan peranan penting sepanjang kempen.
Di barisan pertahanan, Marhan Jalil terus menjadi ‘jeneral’ yang mengetuai kemaraan Speedy Tigers.
Penampilan kelima Marhan di Sukan Asia menyaksikan pemain berpengalaman itu sekali lagi melangkah ke final selepas edisi 2010 di Guangzhou dan 2018 di Jakarta-Palembang.
Lebih menarik, kemaraan kali ini hadir ketika Malaysia turut memburu peluang untuk menamatkan kemarau penampilan di Sukan Olimpik yang berlarutan sejak Sydney 2000.
Kali terakhir Malaysia merasai pentas final Sukan Asia adalah pada 2018 di Indonesia, namun ketika itu skuad negara terpaksa akur dengan kekalahan pada aksi kemuncak.
Bagi penjaring terbanyak kem negara, Azrai Aizad Abu Kamal, kenangan melihat prestasi skuad negara merosot pada penghujung perlawanan menentang Jepun pada 2018 masih berlegar dalam fikirannya ketika dia ketika itu baru sahaja muncul sebagai pemain remaja.
Kini, Azrai mempunyai peluang untuk menulis kisah yang berbeza.
Satu kemenangan lagi mampu menukar sejarah panjang Malaysia di Sukan Asia — daripada penantian 68 tahun kepada detik emas yang dinanti sejak 1958.