Skuad hoki lelaki negara meneruskan rentak kecemerlangan dalam saingan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 apabila berjaya membelasah Thailand 10-0 di Stadium Kawasaki Juko, Kakamigahara, Gifu sebentar tadi.
The Speedy Tigers membuka tirai jaringan pada minit ke-18 menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Faizal Saari.
Malaysia berjaya mendapatkan dua gol pantas pada minit ke-20 hasil jaringan Muhajir Abdu Rauf, juga menerusi pukulan sudut penalti disusuli gol padang yang dijaringkan oleh Azrai Aizad Abu Kamal seminit selepas itu.
SUKAN ASIA 2026 :
Kumpulan B
Malaysia 7-0 Uzbekistan
Malaysia 7-0 Oman
Malaysia 10-0 Thailand
Speedy Tigers meledak 24 gol tanpa dibolosi, momentum terbaik lawan MUSUH TRADISI.
Malaysia vs Pakistan, Sabtu, 12pm Mas time@ASTROARENA pic.twitter.com/tXiAOArFeU— karlnunis (@_karlnunis) September 24, 2026
Malaysia menutup separuh masa dengan keputusan 4-0 apabila Aminuddin Zain menyudahkan satu lagi pukulan sudut penalti pada minit ke-28.
Malaysia tidak menunggu lama untuk terus menambah jaringan setelah bermulanya suku masa ketiga, apabila mereka berjaya meledak dua lagi gol padang hasil jaringan Faizal Saari dan Ashran Hamsani. Kedua-dua gol ini disumbat pada minit ke-35. Azrai Aizad Abu Kamal menambah gol kedua peribadi dan seterusnya menutup suku masa ketiga melalui gol padang pada minit ke-41.
Malaysia menutup perlawanan dengan tiga lagi gol padang pada suku masa keempat menerusi tiga penjaring gol yang berbeza, dengan Shello Silverius, Faiz Helmi Jali dan Akhimullah Anuar Esook masing-masing berjaya meletakkan nama selaku penjaring.