Semangat juang Shah Firdaus Sahrom jelas tidak pernah padam apabila pelumba trek negara itu berjaya melangkah ke pentas final acara keirin Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sebelum menamatkan saingan di tempat kelima.
Kemaraan ke final cukup bermakna buat Shah Firdaus yang terpaksa mengharungi tempoh sukar selepas mengalami kecederaan lutut kanan sehingga memerlukannya menjalani pembedahan pada September tahun lalu.
Namun, segala dugaan itu tidak menghalang pelumba negara berkenaan daripada kembali bersaing di pentas tertinggi dan membuktikan dirinya masih mampu memberikan saingan.
Malah, Shah Firdaus sendiri mengakui terkejut dengan pencapaian yang diraihnya selepas menyedari tahap kecergasan dan prestasinya masih belum berada pada tahap terbaik.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan atas kerja keras untuk membantu saya kembali beraksi di tahap ini.
“Saya sendiri terkejut dengan pencapaian saya kerana menyedari belum berada di tahap terbaik,” katanya.
Walaupun gagal menamatkan kempen dengan pingat, kemaraan ke final sudah cukup menggambarkan ketabahan Shah Firdaus untuk kembali ke pentas persaingan selepas melalui proses pemulihan yang panjang.
Aksi di Aichi-Nagoya juga menjadi satu lagi langkah penting dalam perjalanan kebangkitan pelumba negara itu untuk kembali mencapai tahap terbaiknya.