'Satu ujian sukar' -- itu mungkin gambaran tepat buat skuad Bunga Raya 7s negara apabila diundi dalam kumpulan sama dengan dua jaguh Asia iaitu China dan Hong Kong dalam Sukan Asia Aichi-Nagoya.
Bagi kapten pasukan, Muhammad Azwan Zuwairi, meskipun perlu menghadapi dua pasukan gergasi itu, setidak-tidaknya sasaran jurulatih adalah kemenangan ke atas Uzbekistan dalam aksi pertama.
"Kalau boleh menang ke atas China atau Hong Kong, ia akan menjadi bonus," katanya.
Ketua jurulatih Bunga Raya 7s, Nik Safuan Ismade, pula mengakui persiapan yang dilakukan untuk ke Sukan Asia terlalu singkat, namun peluang tetap ada untuk mara ke suku akhir.
"Risiko paling utama ialah daripada segi kecederaan.
"Kalau boleh menang ke atas Uzbekistan dan mengurangkan defisit ketika berjumpa dua lagi pasukan besar.
"Itu harapan kami, untuk ke suku akhir," katanya.
Kapten skuad wanita, Nur Izzah Azizan, tidak mahu menjadikan persiapan singkat sebagai alasan apabila tumpuan mereka juga terarah kepada Asian Series.
"Skuad senior akan menyertai Asian Series selepas Sukma (Sukan Malaysia) berakhir.
"Dengan persiapan singkat tahun ini -- sebagai pemain kami sedar tahap permainan -- kami menjalani persiapan secara individu sebelum menyertai kem latihan pusat," tambahnya lagi.