Hampir terlepas gelaran, namun Selangor Red Giants (SRG) kekal Raja Mobile Legends negara dengan meraih kejuaraan Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) Malaysia kali keenam berturut-turut selepas menewaskan Team Rey 4-3 penuh drama di Stadium Juara, Bukit Kiara malam tadi.
Tiada siapa yang menyangka bahawa perlawanan akhir itu akan berlanjutan sehinggan permainan ketujuh dengan juara bertahan cemas terpaksa menunggu lama untuk mencapai kemenangan.
SRG terlebih dahulu berada di hadapan 1-0, sebelum lawan bangkit pada aksi kedua untuk mengikat permainan 1-1.
Dengan anak buah Michael Angelo Bocado, atau lebih dikenali sebagai Arcadia, dalam landasan tepat untuk mencipta kejayaan, Team Rey sekali lagi melakukan kebangkitan 3-3, sekali gus mengheret ke permainan penentuan.
Pada aksi terakhir, jelas SRG mendominasi perlawanan dengan mendapatkan kill terbanyak seterusnya memusnahkan pangkalan lawan untuk memastikan trofi MPL terus selamat bersama mereka.
Kedua-dua pasukan turut mengesahkan tempat ke Kejohanan Dunia M8 yang dijadual berlangsung di Istanbul, Turkiye tahun depan.