Cuaca buruk yang melanda Kelab Golf Eastwood, Miri memaksa saingan Sarawak Premier Cup ditamatkan lebih awal apabila pengarah kejohanan mengambil keputusan menghentikan aksi hari kedua serta merta demi keselamatan semua peserta susulan hujan lebat dan petir.
Keputusan itu menyaksikan format pertandingan terpaksa diubah dengan jumlah pukulan keseluruhan hanya diambil berdasarkan pusingan yang berjaya disempurnakan, manakala baki saingan yang sedang berlangsung tidak lagi dikira sebagai keputusan rasmi.
Bagi kategori lelaki, hanya dua pusingan berjaya dilengkapkan sebelum cuaca buruk mengganggu perjalanan kejohanan, sekali gus membuka ruang kepada pemain Thailand muncul juara keseluruhan.
Saingan kategori wanita turut berlangsung sengit, namun wakil Program Pembangunan Golf Remaja Kebangsaan (NJDP-MGA) sekadar berpuas hati dengan gelaran naib juara keseluruhan selepas memberikan tentangan hebat sepanjang kejohanan.
Walaupun terlepas gelaran keseluruhan, skuad elit NJDP tetap membawa pulang beberapa kejuaraan kategori menerusi persembahan cemerlang pemain-pemain muda negara.
Danish Rizal muncul juara kategori lelaki bawah 21 tahun (B-21), manakala Arthi Ganesan menjuarai kategori wanita B-21.
Turut mencatat kejayaan ialah Nurlyana Yasmin yang mengungguli kategori Girls A (B-18).