Pemerhati bola sepak negara, Profesor Madya Dr, Zulakbal Abd Karim, menyokong penuh saranan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang menggesa agar reformasi menyeluruh ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilaksanakan.
Jelasnya, penstrukturan semula badan induk bola sepak negara itu mustahak demi memastikan FAM dapat dipulihkan bagi berada di tahap pengurusan yang lebih berkualiti dan berintegriti.
Advertisement
Dia turut percaya, gabungan orang lama dan muka baru wajar diberikan peluang untuk mentadbir dan mengawal selia era kepimpinan baru FAM dalam pemilihan akan datang.
"Memang wajar nasihat dan saranan menteri terhadap FAM.
"Malaysia berada keadaan paling bawah dan sedang menghadapi situasi paling buruk dalam sejarah penubuhan 100 tahun FAM.
"Malaysia bukan sahaja hilang mata dalam kelayakan Piala Asia, malah malu kerana tindakan untuk mendapatkan kejayaan rupanya-rupaya tersilap langkah.
"Saya setuju dengan sasaran menteri belia dan sukan untuk melihat semula FAM supaya menjadi persatuan yang mempunyai integriti dan tatakelola yang baik.
"Tujuan lain tiada melainkan untuk memajukan bola sepak," kata kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.