Wakil negara, Johor Darul Ta'zim (JDT) mencipta kejutan apabila sempat mendahului juara bertahan, Al-Ahli Saudi, sebelum terikat 1-1 selepas separuh masa aksi suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Jeddah, Arab Saudi ketika ini.
Al-Ahli menguasai sebahagian besar permainan dan kerap mengancam kubu pelawat tetapi barisan pertahanan JDT kental bertahan, terutama penjaga gol, Andoni Zubiaurre, yang sentiasa dapat membaca gerakan lawan dalam kawasannya.
Advertisement
Harimau Selatan memecah kebuntuan menerusi satu gerakan serangan balas, di mana Jairo da Silva bijak mencuri bola sebelum melakukan lintangan yang membuka peluang untuk Marcos Guilherme melakukan percubaan dan memaksa Ali Majrashi terjaring bola ke gawang sendiri pada minit ke-19.
Insiden tidak diingini berlaku pada minit ke-37 apabila Jairo mengalami kecederaan serius dan terpaksa diusung keluar padang untuk mendapatkan rawatan segera apabila kepalanya menerima sepakan daripada gerakan akrobatik Ali Majrashi.
Ali Majrashi kemudian dilayangkan kad merah untuk Al Ahli terpaksa beraksi dengan 10 pemain bagi baki permainan.
Bagaimanapun, Al Ahli berhasil mengikat kedudukan menerusi penyudah tandukan Franck Kessie dalam waktu kecederaan.