Selangor, dalam satu kenyataan malam tadi, memaklumkan bahawa kelab berkenaan akan mengemukakan rayuan kepada Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) bagi mencabar hukuman yang dikenakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Ini selepas rayuan yang dikemukakan mreka kepada Jawatankuasa Rayuan FAM ditolak dan kelab itu kekal dikenakan denda RM100,000 dan hukuman dua perlawanan Piala FA tanpa penonton di gelanggang sendiri.
Advertisement
Kenyataan itu berkata: "Untuk makluman semua pemegang taruh Selangor FC, pihak kelab telah mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mengandungi penjelasan serta bukti-bukti bagi menolak dakwaan insiden-insiden melibatkan penyokong Selangor FC di Stadium MBPJ semasa perlawanan Selangor FC menentang Negeri Sembilan FC pada 29 Oktober 2025 tempoh hari.
"Namun, pada 25 November 2025, rayuan tersebut telah ditolak dan keputusan hukuman denda RM100,000 terhadap Selangor FC berserta dua perlawanan Piala FA tanpa penonton di gelanggang sendiri dikekalkan.
"Hukuman ini melibatkan perlawanan separuh akhir kedua Piala FA, Selangor FC menentang Sabah FC pada 30 November 2025 dan perlawanan pertama Selangor FC di gelanggang sendiri bagi pertandingan Piala FA musim hadapan.
"Oleh itu, Selangor FC akan memfailkan rayuan kepada Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Kuala Lumpur, selaras dengan Artikel 77 dan Artikel 129 Kod Tatatertib FAM (Kod FAM).
"Artikel 77 dalam Kod FAM hanya mengiktiraf AIAC sebagai mahkamah timbang tara bebas yang sah dan bukan mahkamah timbang tara lain seperti Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
"Selangor FC kekal komited dan mengambil pendekatan berprinsip dalam menangani perkara ini demi kebaikan kelab dan semua pemegang taruh bola sepak Selangor."
