Terengganu mencipta sejarah apabila meraih pingat emas acara softball buat kali pertama dalam penyertaan di Sukan Malaysia (SUKMA), namun kejayaan itu hadir dalam suasana penuh hiba selepas pasukan berkenaan kehilangan jurulatih mereka, Allahyarham Wan Mohd Shymin Amirul Wan Sofli.
Kejayaan tersebut diraikan dengan penuh emosi apabila barisan atlet dan kontinjen Terengganu mengangkat lanyard serta baju milik Allahyarham di tengah padang sebagai penghormatan kepada jurulatih yang menjadi antara individu penting dalam persiapan pasukan.
Insiden menyayat hati itu berlaku pada hari pertama saingan softball di padang UKM ketika Terengganu berdepan Negeri Sembilan.
Amirul dilaporkan tiba-tiba rebah ketika perlawanan sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Walaupun terkejut dengan kejadian tersebut, pemain Terengganu meneruskan perjuangan dan berjaya menewaskan Negeri Sembilan 14-9.
Bagaimanapun, kegembiraan itu bertukar menjadi kesedihan apabila pasukan menerima berita bahawa Amirul disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya, tepat jam 8.12 pagi.
Kehilangan itu tidak mematahkan semangat pasukan Terengganu untuk meneruskan saingan.
Sebaliknya, anak-anak didik Allahyarham menjadikan segala ilmu dan bimbingan yang diterima sebagai pembakar semangat untuk meneruskan perjuangan sehingga ke peringkat akhir.
Terengganu kemudian berjaya menempah tiket ke final selepas melepasi aksi separuh akhir.
Pencapaian itu menyaksikan peningkatan ketara berbanding edisi SUKMA Sarawak 2024, apabila Terengganu sebelum ini hanya mampu mara sehingga ke separuh akhir.
Kali ini, mereka bukan sahaja berjaya melangkah ke final, malah menamatkan saingan sebagai juara untuk membawa pulang emas bersejarah.
Kemenangan itu sekali gus menjadi pencapaian terbaik Terengganu dalam acara softball di SUKMA.
Selepas wisel penamat, pemain dan pegawai pasukan tidak dapat menyembunyikan kesedihan apabila meraikan kemenangan sambil mengenang jasa Amirul.
Baju dan lanyard milik Allahyarham kemudian diangkat di tengah padang sebagai simbol penghargaan terhadap segala tunjuk ajar dan pengorbanannya.
Pingat emas itu akhirnya menjadi penghormatan terakhir anak-anak didik kepada Amirul yang telah membantu membentuk pasukan Terengganu sebelum mereka mencipta sejarah di SUKMA Selangor 2026.
Al-Fatihah buat Allahyarham Coach Amirul.
Kredit imej: Hishamuddin Abdul Karim