Bersempena ulang tahun perkahwinan yang ke-27, jaguh bina badan negara, Sazali Samad, memilih tarikh 14 Disember sebagai detik istimewa untuk merasmikan pembukaan gimnasium miliknya sendiri, satu langkah baharu yang sarat dengan makna dalam perjalanan hidup dan kerjayanya.
Pembukaan gimnasium itu mahu dijadikan platform untuk Sazali berkongsi ilmu dan pengalaman dengan komuniti sukan.
Advertisement
"Kelainan Sazali Samad Gym ini sebab pemilik dia sendiri, Sazali Samad.
"Boleh datang jumpa saya, boleh tengok piala-piala saya, pingat kejuaraan dunia, tengok saya punya kit olahragawan negara empat kali, boleh tengok di sini.
"Itulah kelainan dia sebab nama Sazali Samad ni nama besar, sebaris Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David & Datuk Shalin Zulkifli," ulasnya.
Bagi menyambut pembukaan rasmi, gim tersebut turut menawarkan harga promosi yang lebih murah daripada biasa, selari dengan niat untuk memastikan kemudahan ini tidak terhad kepada golongan tertentu, malahan terbuka kepada semua lapisan masyarakat.
Dalam pada itu, Sazali tidak menyembunyikan harapannya untuk melihat legasi keluarga diteruskan dalam arena sukan.
Dia mahu melihat anaknya, Azim Sazali, mampu membuat penampilan bersama skuad kebangsaan dalam Sukan Sea 2027 di Malaysia dalam acara bina badan kategori -65kilogram (kg).
"Azim memang pewaris saya, memang ada bakat dan potensi jadi tak mustahil dia boleh jadi juara dunia satu hari nanti kalau Allah izinkan", tambahnya.