Ketua Pegawai Eksekutif Johor Darul Ta'zim (JDT), Luis Garcia, berkata pihaknya tertarik untuk mengetahui idea yang akan diutarakan CEO Selangor, Dr. Johan Kamal Hamidon, mengenai penyelesaian masalah kewangan pasukan Liga Malaysia.
Tambahnya, pertemuan di antara kelab-kelab, seperti yang dikemukakan Dr. Johan, wajar diadakan demi mengetahui apa yang akan disampaikan.
Advertisement
"Saya tertarik dengan kenyataan terbaru Dr. Johan Kamal, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, bahawa beliau mempunyai penyelesaian bagi masalah kewangan dalam Liga Malaysia," katanya dalam satu siaran media sebentar tadi.
"Saya percaya kita wajar mengadakan sesi perbincangan ini bersama semua pasukan kerana kita perlu mengetahui apakah idea penyelesaian beliau.
"Saya berbesar hati dapat bermain di peringkat tertinggi antarabangsa serta bekerja dengan organisasi-organisasi bertaraf dunia, dan saya amat ingin mengetahui apakah penyelesaian yang dimiliki oleh Dr. Johan berdasarkan pengalaman dan pengetahuan luas beliau dalam bola sepak Malaysia dan antarabangsa.
"Saya berharap perbincangan bersama semua pasukan ini dapat dilaksanakan dalam masa terdekat."