“Saya pun akan keluar jika dapat peluang,” kata jurulatih Imigresen II, S. Balachandran, yang tampak tidak berselindung mengenai kemelut yang sedang melanda pasukannya selepas dibelasah 0-4 oleh Kelantan City dalam aksi Liga A1 Semi-Pro, semalam.
Difahamkan, kelab berkenaan kini dalam rundingan bersama pemain untuk meneruskan sisa perjuangan dengan kaedah pembayaran yang dipersetujui biarpun berisiko berdepan situasi pemain 'angkat kaki'.
"Masalah ini perlu dirujuk kepada pihak pengurusan, saya hanya jurulatih dan hanya buat kerja saya," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Ditanya sama ada dia bersedia untuk kehilangan pemain selepas ini, Balachandran berkata: "Saya bersedia dan saya rasa setiap pemain juga ada perancangan mereka sendiri.
"Jika mereka mahu pergi, itu pilihan mereka dan jika mereka dapat peluang, mungkin mereka akan keluar.
"Saya pun akan keluar jika saya dapat peluang tetapi majikan saya ketika ini adalah Imigresen."