Skip to main content

Maraton

Saham Adidas melonjak susulan Sabastian Sawe pecah rekod dunia!

Saham Adidas melonjak susulan Sabastian Sawe pecah rekod dunia!

Saham Adidas dilaporkan meningkat sebanyak 1.7 peratus pada Isnin susulan kejayaan luar biasa atlet Kenya, Sabastian Sawe, yang mencipta sejarah di London Marathon.

Sawe mencuri tumpuan dunia apabila muncul sebagai lelaki pertama mencatat masa bawah dua jam dalam perlumbaan maraton rasmi -- satu pencapaian yang sebelum ini dianggap mustahil dalam arena kompetitif. Lebih menarik, kejayaan sensasi itu hadir ketika beliau menyarung kasut utama Adidas, sekali gus melonjakkan lagi profil jenama tersebut di pentas global.

Advertisement

Dalam perlumbaan sama, Yomif Kejelcha dari Ethiopia menamatkan saingan di tempat kedua dalam penampilan sulung maratonnya, manakala rakan senegara, Tigst Assefa, sekali lagi memecahkan rekod dunia wanita (kategori wanita sahaja) miliknya.

Ketiga-tiga pelari elit ini menggunakan model kasut terkini Adidas, iaitu Adizero Adios Pro Evo 3 -- generasi ketiga dalam siri “supershoe” yang mula diperkenalkan pada penghujung 2023.

Menurut laman rasmi syarikat, kasut berteknologi tinggi itu akan mula dijual pada Khamis ini secara eksklusif menerusi aplikasi Adidas dengan harga sekitar AS$500 (kira-kira RM2,300 sepasang). Namun, tanda harga premium tersebut dijangka meletakkannya di luar jangkauan kebanyakan pelari amatur.

Kejayaan di London ini sekali lagi membuktikan dominasi teknologi kasut larian moden dalam sukan elit, di samping memberi impak langsung kepada prestasi pasaran syarikat pengeluar.

Must Watch Video