Skip to main content

Bola Sepak

Ronaldo Jr jalani sesi latihan ujian di Real Madrid

Ronaldo Jr mula langkah di Real Madrid, hampir ikut jejak ayah

Anak kepada legenda bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo, iaitu Cristiano Ronaldo Jr kini mencuri tumpuan selepas dilaporkan memulakan sesi latihan percubaan bersama akademi gergasi Sepanyol, Real Madrid.

Menurut laporan terkini, pemain berusia 15 tahun itu telah menyertai latihan bersama skuad Cadete A (Bawah 16 tahun) di akademi terkenal kelab tersebut, La Fábrica, yang menghimpunkan bakat muda terbaik sebelum mereka dinaikkan ke peringkat lebih tinggi.

Advertisement

Ronaldo Jr dilihat beraksi sebagai pemain sayap dalam sesi latihan awal, sekali gus memberi bayangan tentang fleksibiliti posisi yang dimilikinya di bahagian serangan.

Laporan turut menyatakan bahawa tempoh percubaan ini boleh berlangsung sehingga beberapa minggu, dengan pihak Real Madrid menilai potensi sebenar pemain muda tersebut sebelum membuat keputusan sama ada untuk menyerapnya ke dalam akademi secara rasmi.

Walaupun belum ada sebarang pengesahan mengenai perpindahan tetap, perkembangan ini sudah cukup untuk mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat bola sepak global.

Perjalanan Ronaldo Jr setakat ini dilihat hampir menyamai laluan karier bapanya. Sebelum ini, beliau pernah menimba pengalaman di akademi, Manchester United, Juventus dan Al-Nassr.

Kini, peluang bersama Real Madrid membuka lembaran baharu yang cukup simbolik, memandangkan Cristiano Ronaldo senior pernah mencipta sejarah gemilang bersama kelab tersebut dengan ratusan gol serta pelbagai kejuaraan utama.

Di peringkat antarabangsa, Ronaldo Jr juga sudah mula membina nama apabila mewakili Portugal di peringkat umur, sekali gus menunjukkan bahawa beliau bukan sekadar ‘anak kepada legenda’, tetapi memiliki potensi tersendiri.

Jika berjaya memikat hati barisan kejurulatihan Real Madrid, tidak mustahil dunia bakal menyaksikan satu lagi kisah legenda -- kali ini generasi kedua Ronaldo -- yang mungkin menggegarkan pentas bola sepak Eropah pada masa hadapan.

Langkah awal Ronaldo Jr bersama Real Madrid bukan sekadar cerita sensasi, tetapi boleh menjadi titik permulaan kepada karier besar yang sedang dibentuk.

Sama ada dia mampu menyaingi legasi ayahnya atau mencipta identiti sendiri, satu perkara pasti -- dunia bola sepak kini sedang memerhati dengan penuh minat.

Must Watch Video