Pembangunan atlet badminton negara tidak seharusnya terhenti pada usaha melahirkan juara di gelanggang, sebaliknya perlu turut merangkumi kebajikan, literasi kewangan dan persediaan menghadapi kehidupan selepas tamat karier sukan.
Itu antara fokus kerjasama strategik Allianz Malaysia bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan atlet berlangsung secara lebih menyeluruh.
Kerjasama itu bermula menerusi penganjuran kejohanan Allianz Junior Badminton (AJBC) pada 2022 sebelum diperluaskan pada 2025 apabila Allianz dilantik sebagai rakan rasmi perkhidmatan kewangan BAM.
Menerusi program Allianz MoveForward yang diperkenalkan pada 2022, Allianz turut memberi penekanan kepada aspek literasi kewangan dan pembangunan diri, termasuk membabitkan atlet para serta bekas atlet.
Pendekatan itu mencerminkan keperluan untuk memastikan atlet bukan sahaja memiliki kemampuan bersaing di peringkat tertinggi, malah mempunyai pengetahuan dan kemahiran mengurus kehidupan di luar gelanggang.
Hakikatnya, tempoh seseorang atlet berada di kemuncak prestasi tidak semestinya panjang. Justeru, persediaan awal dari segi kewangan dan pembangunan diri menjadi elemen penting bagi membantu mereka merancang masa depan selepas bersara.
Menerusi komitmen berterusan bersama BAM, Allianz berharap usaha pembangunan badminton negara dapat diperluaskan bukan sahaja dari sudut pencarian bakat dan kecemerlangan prestasi, tetapi turut meliputi kebajikan serta kesejahteraan jangka panjang atlet.
Ini kerana kejayaan sebenar pembangunan sukan bukan sekadar diukur menerusi jumlah kejuaraan yang diraih, tetapi juga sejauh mana atlet bersedia menghadapi kehidupan selepas meninggalkan arena kompetitif.