Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo, dilaporkan menjalani rawatan pressotherapy bagi mempercepatkan proses pemulihan selepas mengalami kecederaan otot dalam usaha memastikan impiannya untuk beraksi di Piala Dunia 2026 dapat direalisasikan.
Pemain berusia 41 tahun itu mengalami kecederaan ketika membantu Al-Nassr menewaskan Al-Fayha dengan skor 3-1 dalam aksi Liga Pro Saudi baru-baru ini.
Advertisement
Ronaldo dilihat terpaksa keluar padang dalam keadaan tempang sebelum diletakkan pek ais di belakang lututnya ketika berada di bangku simpanan.
Menurut pengendali Al-Nassr, Jorge Jesus, keputusan ujian perubatan menunjukkan kecederaan yang dialami Ronaldo lebih serius daripada jangkaan awal.
“Selepas ujian dijalankan, kami dapati kecederaan Cristiano lebih serius daripada yang dijangkakan.
"Cristiano akan ke Sepanyol seperti beberapa pemain lain yang mendapatkan rawatan apabila mengalami kecederaan.
"Kecederaan ini memerlukan rawatan di Madrid bersama ahli terapinya dan kami berharap dia dapat kembali dengan cepat untuk membantu pasukan," katanya.
Rawatan pressotherapy yang dijalani Ronaldo dipercayai membantu melancarkan sistem limfa, mengurangkan kesakitan otot serta mempercepatkan proses pemulihan badan.
Kecederaan itu menimbulkan kebimbangan terhadap peluang Ronaldo untuk beraksi dalam Piala Dunia 2026, yang bakal menjadi Piala Dunia keenam dalam kariernya.
Portugal dijadual menentang Mexico dan Amerika Syarikat dalam aksi persahabatan antarabangsa pada hujung bulan ini, namun tahap kecergasan Ronaldo masih menjadi tanda tanya.
Setakat musim ini, penyerang prolifik terbaik dunia itu berada dalam prestasi cemerlang apabila menjaringkan 21 gol dalam 22 perlawanan liga, dengan membantu Al-Nassr kekal di puncak liga dengan kelebihan dua mata.