Malaysia melakar kemenangan ketiga dalam kempen Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2026 selepas menewaskan Amerika Syarikat 4-2 di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, sebentar tadi.
Amerika Syarikat mendahului Malaysia dalam awal permainan selepas Wyatt Katz menampan hantaran rakan sepasukan untuk mendahului 1-0, sebelum jaringan penyamaan hadir menerusi Faizal Saari pada minit ke-15 untuk mengikat pasukan lawan 1-1 dalam suku pertama.
Suku kedua pula menyaksikan Amerika Syarikat terus giat mengasak kubu pertahanan negara, namun gerakan solo daripada Faiz Jali disudahi dengan pukulan deras menewaskan Emil Collins untuk mendahului 2-1.
Malaysia terus giat memburu gol menambah jaringan menerusi Adam Johari pada minit ke-41, sebelum Faizal meledak gol keempat negara --gol ke 310 peribadi-- selang tiga minit kemudian untuk Malaysia mendahului 4-1 dalam suku ketiga.
Begitupun, Amerika Syarikat menambah jaringan menerusi pukulan Kai Kaeppeler pada minit ke-53 selepas pertahanan negara gagal mengeluarkan bola daripada kawasan berbahaya.
Tempoh 60 minit berakhir dengan Malaysia melakar kemenangan 4-3 menewaskan Amerika Syarikat di Ipoh.
Skuad kendalian Brendon Carolan akan meneruskan saingan berdepan juara 10 kali, Australia dan Pakistan dalam aksi seterusnya.