Ketua jurulatih The Speedy Tigers, Brendon Carolan, berazam membawa Malaysia kembali mengulangi pencapaian bersejarah memenangi Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) sejak edisi 2022.
Menurut Carolan, gabungan pemain senior dan muda merupakan antara senjata ampuh bagi memastikan skuad kebangsaan “hidup” dengan aksi matang dan pantas.
Malaysia bakal menguji keberkesanan barisan pemain sedia ada dengan pemanas badan bertemu Kanada pada Rabu ini sebelum menghadapi perlawanan sebenar PSAS yang akan membuka tirai 20 November ini.
Faizal Saari masih diberi kepercayaan menjadi mesin gol dengan Fitri Saari dan Shello Silverius antara yang bakal mengemudi jentera tengah.
Malaysia hanya pernah bergelar juara pada 2022 di bawah bimbingan Arul Selvaraj, dan Carolan pada ketika itu bertindak sebagai penolong.
"Lima peratus adalah taktik dan 95 peratus selebihnya (bergantung kepada) pemain dan menguruskannya bukanlah satu tugas yang mudah.
"Kami mahu konsisten tanpa mengira siapa lawan yang dihadapi dan berikan persembahan yang lebih baik ketika berdepan pasukan handalan.
"Saya percaya kami berkemampuan sementara pasukan remaja sudah melakukan dengan baik dan kami mahu mengulangi kejayaan seperti itu," katanya.