Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelah kaki ke separuh akhir Piala Malaysia apabila membelasah Melaka 5-0 dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri sebentar tadi.
Selepas tewas tipis 1-2 kepada Kelab Jepun, Sanfrecce Hiroshima, dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) pada selasa lalu, Harimau Selatan bangkit melepas geram dengan menjadikan Melaka sebagai mangsa.
Advertisement
Dalam pertemuan kali ini, penggempur baru Harimau Selatan, Ajdin Mujagic, mempamerkan sentuhan berbisa sebelum seorang lagi muka baru, Marcos Guilherme, melengkapkan malam gemilang tuan rumah.
Mujagic memastikan JDT berada di depan dengan kelebihan dua gol menerusi jaringan berganda dalam separuh masa pertama, bermula dengan menolak bola masuk ke gawang Melaka menerusi satu situasi sepakan penjuru pada minit kelima, sebelum merembat rendah jaringan keduanya hanya berselang tiga minit.
Dalam separuh masa kedua, bekas penggempur Sabah itu menambah satu lagi jaringan dengan ledakan kaki kanan pada minit ke-62 sebelum Manuel Hidalgo melakukan gol lambungan kaki kiri gemilang dari luar kawasan penalti 10 minit kemudian.
Pemain gantian, Guilherme, kemudian melakukan larian solo menarik sebelum memastikan namanya turut terpahat sebagai penjaring pada minit ke-75.
Kedua-dua pasukan akan kembali bertemu dalam aksi timbal balik di Stadium Hang Jebat pada 25 Februari ini.