Atlet tinggi lampai berusia 15 tahun dari Jelutong, Pulau Pinang, Chua Yi Heng, mencuri perhatian pada saingan Piala Lee Chong Wei 2026 menerusi aksi bertenaga dalam pusingan 64 terbaik.
Ketinggiannya yang menjadi kelebihan nyata ketika berdepan lawan, membantu Yi Heng menampilkan permainan agresif sebelum menewaskan pencabarnya untuk mara ke pusingan seterusnya.
Menariknya, Yi Heng menjadikan bekas pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen, sebagai rujukan utama dalam membentuk corak permainannya.
Pilihan itu bukan tanpa sebab apabila Yi Heng melihat persamaan dari segi fizikal, khususnya kelebihan ketinggian yang dimiliki pemain Denmark tersebut.
Bagi atlet muda itu, Axelsen menjadi sumber inspirasi untuk memanfaatkan kelebihan fizikal yang ada, selain terus memperbaiki aspek teknikal dan taktikal permainannya.
Kini, Yi Heng berharap dapat menggunakan pengalaman beraksi di Piala Lee Chong Wei 2026 sebagai batu loncatan untuk terus berkembang dan mencipta nama dalam arena badminton negara.
Dalam pada itu, di saingan perempuan bawah 15 tahun juara tiga gelaran di Jelajah Elit Remaja BAM 2026, Ellis Ngi Cai Lin, menganggap tahun ini sebagai tahun yang sangat cemerlang buat dirinya dan berharap dapat menutupnya dengan kejayaan di Piala Lee Chong Wei.
Kini menghadapi tahun terakhirnya bagi kategori bawah 15 tahun, Ellis berharap momentum ini dapat diteruskan ke tahun hadapan, di mana dia akan menyertai kumpulan usia yang lebih matang dalam kategori bawah 17 tahun pula.