Pemain tengah berpengaruh Kuching City, Petrus Shitembi, percaya peluang buat pasukannya meraih slot ke final Piala FA musim ini masih terbuka meskipun ketinggalan 1-2 secara agregat kepada Selangor.
The Cats tewas 1-2 kepada Selangor dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium MBPJ pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, tonggak kelahiran Namibia itu berkata tiada istilah kibar bendera putih buat pasukannya dan memberikan jaminan bahawa mereka akan berjuang habis-habisan dalam aksi timbal balik di Stadium Taha Ariffin pada 8 November depan.
"Ia amat genting, tahun lalu ketika kami datang ke sini (Stadium MBPJ), kami seri dengan mereka," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Gol di tempat lawan sentiasa perkara yang baik, anda dapat lihat betapa bermaknanya kemenangan ini buat penyokong mereka dan itulah yang akan kami lakukan buat penyokong di laman kami sendiri nanti.
"Kami masih ada 90 minit yang panjang untuk membuktikan diri, jadi saya optimis untuk memberikan yang terbaik nanti.