Tiada istilah ‘parking bus’ dalam kamus Kelantan City apabila kelab dari Pantai Timur itu tetap mahu menampilkan corak permainan menyerang berdepan Negeri Sembilan untuk aksi timbal balik pusingan 16 Piala FA, esok.
Pelawat membawa bekalan gol 2-0 ketika berkunjung ke Paroi, namun ketua jurulatih, Alfredo Gonzales, menegaskan mereka tidak akan sekadar berpeluk tubuh untuk mempertahankan kelebihan agregat itu.
"Corak permainan kami pasti akan lebih kurang serupa. Kami akan cuba menguasai permainan dan kawalan bola.
"Namun, kami perlu tahu bilakah waktu terbaik bertahan dan menyerang.
"Kami perlu kental bertahan selain bijak mengambil kesempatan jaringan.
"Mengenai parking bus, saya lebih gemar bermain menjauhi gawang sendiri, caranya lebih selamat," katanya
Antara lain, misi kelab Liga A1 Semi-Pro itu diletakkan kepada penjaring terbanyak pasukan, Emmanuel Ikechukwcu Uzochukwu.
"Saya perlu berada di posisi tepat sebagai seorang penyerang dan kalau itu berlaku, saya mampu meledak jaringan," katanya.