Skip to main content

Bola Sepak

Piala Dunia: Sama ada dipanggil atau tak, saya sentiasa sokong Brazil -- Neymar

za

Bintang Brazil, Neymar, mengakui peluangnya untuk kembali menyarung jersi Brazil pada Piala Dunia 2026 bukan berada di tangannya, sebaliknya bergantung kepada keputusan jurulatih kebangsaannya, Carlo Ancelotti.

Pemain berusia 34 tahun itu berkata demikian selepas membantu Santos seri 1-1 dengan seteru utama mereka, Corinthians, dalam aksi liga Brazil di Stadium Vila Belmiro.

Advertisement

Perlawanan itu juga menjadi aksi terakhir Neymar sebelum Ancelotti mengumumkan senarai pemain bagi dua perlawanan persahabatan menentang Perancis dan Croatia pada 27 Mac dan 1 April.

Dua perlawanan persahabatan itu juga akan menjadi ujian terakhir sebelum Ancelotti menamakan skuad akhir Brazil pada Mei bagi menghadapi Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada bermula 11 Jun hingga 19 Julai.

Menurut Neymar, dia tetap berharap dapat kembali menyertai skuad kebangsaan bagi menghadapi kejohanan terbesar dunia itu.

“Saya ingin kembali ke pasukan kebangsaan dan bermain di Piala Dunia, tetapi keputusan itu bukan di tangan saya. 

“Sama ada saya dipanggil atau tidak, saya akan sentiasa menyokong Brazil,” katanya.

Neymar yang juga penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil dengan 79 gol kini berdepan laluan sukar untuk berada dalam skuad akhir selepas prestasi kurang menyerlah sejak kebelakangan ini.

Neymar sebelum ini berdepan masalah kecederaan serius selepas mengalami kecederaan ligamen lutut (ACL) pada Oktober 2023 sebelum menjalani satu lagi pembedahan lutut pada Disember tahun sama.

Sejak kembali beraksi, beliau hanya membuat kurang daripada 10 penampilan bersama Santos musim ini, namun masih cuba meningkatkan prestasi apabila menjaringkan dua gol ketika membantu pasukannya menewaskan Vasco da Gama 2-1 Februari lalu.

Kini, nasib Neymar untuk beraksi dalam Piala Dunia untuk kali keempat berturut-turut bersama Brazil bakal ditentukan oleh keputusan Ancelotti dalam masa terdekat.

Must Watch Video