Trend jurulatih meletakkan jawatan semakin meluas dalam Piala Dunia 2026 apabila gagal membimbing pasukan masing-masing mara sejauh mungkin selepas tewas dan pulang awal.
Terbaru, ketua jurulatih Belanda, Ronald Koeman, sah meninggalkan kem negara itu berkuat kuasa serta merta selepas menilai kedudukannya tidak berjaya membantu pasukan itu mencapai sasaran yang ditetapkan.
"Tiada siapa yang lebih kecewa daripada saya.
"Sebagai ketua jurulatih, saya memikul tanggungjawab itu," katanya.
Pengendali berusia 63 tahun itu tidak menolak kemungkinan untuk bersara apabila memberi bayangan awal dalam satu lagi kenyataan, namun belum ada pengesahan rasmi.
Sejak bergelar naib juara pada 2010, pasukan ketujuh dunia itu tidak pernah menjejakkan kaki ke perlawanan akhir sehingga edisi kali ini. Sepanjang penyertaan dalam sejarah Piala Dunia, Belanda merekodkan tiga kali pencapaian selaku naib juara.
🚨 BREAKING: Ronald Koeman resigns and leaves his job as Netherlands head coach. 🇳🇱 pic.twitter.com/AScGNpKUgo
— Fabrizio Romano (@FabrizioRomano) June 30, 2026
Kekalahan kepada Maghribi dalam penentuan sepakan penalti pusingan 32 terbaik semalam menutup kempen Belanda.
Setakat ini, empat jurulatih memilih untuk menamatkan perjanjian ekoran prestasi tidak memuaskan.
Steve Clarke yang menandatangani kontrak lanjutan bersama Scotland mengucapkan selamat tinggal selepas gagal mara ke peringkat kalah mati, sementara Hong Myung-bo (Korea Selatan) dan Miroslav Koubek (Czechia) juga mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan meletakkan jawatan serta merta.
Sabri Lamouchi jurulatih pertama dipecat dalam kempen kali ini tatkala Tunisia tewas besar 1-5 kepada Sweden dalam aksi pertama.