Belgium dan Iran terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata selepas terikat tanpa jaringan dalam aksi Kumpulan G Piala Dunia 2026 yang berlangsung dalam suasana penuh dramatik.
Walaupun menguasai sebahagian besar permainan dengan 81 peratus penguasaan bola, Belgium gagal memecahkan kebuntuan hasil aksi cemerlang penjaga gol Iran, Alireza Beiranvand, yang muncul wira pasukannya dengan beberapa siri penyelamatan penting.
Skuad kendalian Rudi Garcia tampil dominan sejak wisel pertama dengan merekodkan 11 percubaan berbanding hanya dua milik Iran pada separuh masa pertama. Namun, pasukan Asia itu sebenarnya hampir mengejutkan Belgium apabila Mehdi Taremi menjaringkan gol menerusi gerakan licik sepakan percuma sebelum dibatalkan VAR kerana ofsaid.
Memasuki babak kedua, Iran hampir membuka tirai jaringan seawal beberapa saat selepas sepak mula apabila Alireza Jahanbakhsh yang baru dimasukkan melepaskan percubaan dari sebelah kanan kotak penalti, namun rembatannya tersasar.
Belgium terus mengasak dan hampir memecah kebuntuan pada minit ke-50. Sepakan sudut Kevin De Bruyne menemui Alexis Saelemaekers di tiang jauh, namun voli cantiknya hanya singgah di jaring sisi.
Peluang terbaik Belgium hadir pada minit ke-59. De Bruyne melakukan larian bijak sebelum menghantar bola ke dalam kotak penalti. Cubaan awal berjaya disekat tetapi bola melantun ke arah Maxim De Cuyper yang hanya berdepan Beiranvand. Namun penjaga gol Iran itu bertindak cemerlang untuk menafikan jaringan yang seakan pasti.
Tiga minit kemudian, Dodi Lukebakio pula menguji Beiranvand menerusi rembatan deras dari sudut kotak penalti sebelum Hans Vanaken gagal memanfaatkan bola muntah apabila percubaannya tersasar.
Iran sesekali mencuri peluang menerusi situasi bola mati. Pada minit ke-66, tandukan Shoja Khalilzadeh hasil sepakan penjuru Ramin Rezaeian hanya sedikit melewati sasaran.
Detik paling dramatik perlawanan berlaku seminit kemudian apabila Belgium kehilangan Nathan Ngoy. Pertahanan itu melakukan hantaran ke belakang yang terlalu lemah sebelum Taremi pantas menghidu peluang untuk berdepan Courtois.
Dalam keadaan panik, Ngoy menarik Taremi dari belakang dan pengadil tanpa ragu-ragu melayangkan kad merah kerana menghalang peluang jaringan yang jelas.
Bermain dengan 10 orang, Belgium terpaksa bertahan dengan lebih berhati-hati. Iran hampir memanfaatkan kelebihan tersebut pada minit ke-81 apabila Saeid Ezatolahi merampas bola daripada De Bruyne sebelum melepaskan rembatan kencang yang memaksa Courtois melakukan penyelamatan penting.
Namun Belgium masih mampu mengancam. Lima minit sebelum tamat, De Cuyper sekali lagi berpeluang menjaringkan gol selepas menerima hantaran lintang dari sebelah kanan, tetapi sekali lagi Beiranvand menjadi penghalang dengan satu lagi aksi menyelamat yang luar biasa.
Kedua-dua pasukan terus memburu gol kemenangan sehingga ke masa kecederaan, namun tiada jaringan berjaya dihasilkan.
Keputusan seri tanpa jaringan itu menyaksikan Belgium terlepas peluang mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan, manakala Iran boleh berbangga dengan disiplin pertahanan mereka serta persembahan cemerlang Beiranvand yang memastikan gawangnya kekal kebal sepanjang 90 minit permainan.