Wakil tunggal Asia Tenggara, Vietnam, layak ke separuh akhir Piala Asia B-23 apabila menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 3-2 dalam perlawanan suku akhir di Stadium Bandar Sukan Prince Abdullah Al-Faisal, Arab Saudi awal pagi tadi.
Dalam perlawanan itu, Naga Emas dua kali berada di depan sebelum memperoleh gol kemenangan dalam masa tambahan.
Advertisement
Nguyen Le Phat terlebih dahulu meletakkan Vietnam di depan pada minit ke-39 tetapi Junior Ndiaye memastikan UAE ke bilik persalinan dengan keputusan seri menerusi jaringan penyamaannya berselang tiga minit.
Dalam separuh masa kedua, Nguyen Dinh Bac kembali meletakkan Vietnam di depan pada minit ke-62 tetapi sekali lagi, UAE berhasil menyamakan kedudukan berselang enam minit, kali ini menerusi sentuhan pemusnah Mansoor Al-Menhali.
Kedudukan itu kekal sehingga minit ke-90 untuk perlawanan berlarutan ke masa tambahan tetapi Pham Minh Duc muncul wira Vietnam dengan jaringan kemenangannya pada minit ke-101.
Vietnam seterusnya akan menantikan pemenang di antara Uzbekistan dan China bagi penentuan ke final pada Selasa ini.