Astro melancarkan program Netball Super League (NSL) Empowerher 2026 sempena musim kelima NSL yang dianggap sebagai langkah memperkukuh pembangunan sukan bola jaring di Malaysia.
Hasil kolaborasi bersama Myniss serta Netball Hive, matlamat program meliputi aspek pemerkasaan wanita dan peningkatan profesionalisme kelab atau akademi di seluruh negara.
Advertisement
Hampir 70 peserta terdiri daripada pemain, jurulatih dan pengurus didedahkan dengan modul asas keselamatan sukan, pengurusan kecederaan serta ilmu tadbir urus kelab yang lebih sistematik.
Peserta turut berpeluang menyertai sesi interaktif bersama beberapa pemain negara dalam pelbagai aktiviti termasuk 'penalty shoot on ice', sekali gus meluaskan lagi rangkaian komuniti bola jaring secara keseluruhan.
"Dengan koordinasi program seperti ini, saya melihat ada satu langkah untuk berkongsi ilmu.
"Bukan setakat bermain bola jaring sahaja. Tetapi cara untuk mengelakkan daripada kecederaan dan sebagainya.
"Saya juga tumpang ilmu," kata Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Alwiyah Talib.
"Kadang-kadang ada kekasaran dalam sukan. Itu juga boleh dipelajari untuk dielakkan," kata peserta Akademi Bola Jaring Kuala Lumpur (KL) Flash.
Penganjuran edisi sulung itu turut menyasarkan lebih pendedahan buat pemain amatur selain menggilap bakat-bakat baharu ke pentas profesional seiring dengan perancangan jangka masa panjang program.
"Kita hendak menjadikan sukan untuk semua.
"Tidak pernah dibuat dalam dunia ada bola jaring atas ais. Kami akan adakannya di Malaysia kerana tanggungjawab sosial supaya lebih maju pada masa akan datang.
"Kami ingin melakukan sesuatu yang berlainan," kata Presiden Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM), Fadzli Johan.