Skip to main content

Bola Sepak

Neymar terlepas aksi pemanas badan Brazil menjelang Piala Dunia

Neymar terlepas aksi pemanas badan Brazil menjelang Piala Dunia

Bintang sensasi Brazil, Neymar, diketepikan daripada skuad bimbingan Carlo Ancelotti bagi aksi pemanas badan menjelang Piala Dunia FIFA 2026 susulan masalah kecergasan yang masih belum pulih sepenuhnya.

Ancelotti menjelaskan keputusan itu dibuat kerana penyerang berusia 34 tahun itu belum mencapai tahap kecergasan optimum, sekali gus tidak bersedia untuk beraksi dalam perlawanan antarabangsa penting ketika ini.

Advertisement

Ketiadaan Neymar turut dikaitkan dengan sejarah kecederaan serius yang dialaminya sebelum ini, termasuk kecederaan lutut pada Oktober 2023, selain isu keletihan otot yang menjejaskan konsistensinya bersama kelab Santos FC.

Sebagai rekod, Neymar -- penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil dengan 79 gol -- tidak lagi mewakili skuad kebangsaan sejak kecederaan tersebut, dan masih bergelut untuk mendapatkan rentak terbaik sejak kembali beraksi di peringkat kelab.

Brazil dijadualkan menghadapi perlawanan persahabatan menentang Perancis pada 26 Mac di Boston, diikuti Croatia pada 31 Mac di Orlando, sebagai persiapan terakhir sebelum kejohanan dunia bermula.

Walaupun diketepikan kali ini, Ancelotti tidak menutup pintu buat Neymar untuk kembali, dengan menegaskan peluangnya ke Piala Dunia tetap terbuka sekiranya pemain itu berjaya mencapai tahap kecergasan terbaik dalam tempoh terdekat.
 

Topik Berkaitan

Must Watch Video