Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Daniel Giménez, sedang merangka pendekatan taktikal terbaik bagi mengekang kekuatan DPMM menjelang pertemuan Liga Super di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah Jumaat ini.
Skuad Hobin Jang Hobin berdepan jadual mencabar apabila perlu mengharungi tiga perlawanan berturut-turut menentang pasukan dari Borneo, bermula dengan keputusan seri 1-1 ketika berdepan Sabah sebelum bertemu DPMM dan Kuching City dalam dua aksi berikutnya.
Giménez mengakui DPMM bukan lawan mudah, terutama berdasarkan prestasi yang dipamerkan pasukan itu setakat ini.
“DPMM berada dalam prestasi yang cemerlang. Mereka bersaing dengan cukup baik dan ia akan menjadi perlawanan yang sukar buat kami,” katanya.
Dalam usaha memburu keputusan positif, jentera serangan Negeri Sembilan turut dituntut memainkan peranan lebih berkesan bagi memastikan peluang yang dicipta dapat diterjemahkan kepada jaringan.
Negeri Sembilan memiliki pilihan penyerang dengan karakter berbeza, termasuk Yusuke Minagawa dan Abou Bakar Kamara yang mampu menawarkan kekuatan fizikal di bahagian hadapan.
Pilihan lain seperti Luqman Hakim, Abdul Rahman Daud dan Jovan Motika pula berpotensi memberikan dimensi berbeza menerusi kepantasan ketika pasukan memerlukan pendekatan permainan lebih pantas.
Giménez menegaskan sasaran untuk meraih kemenangan sentiasa menjadi keutamaan pasukan pada setiap minggu.
“Setiap minggu kami meletakkan sasaran untuk menang dalam perlawanan yang mendatang. Sudah pasti para pemain juga akan meletakkan sasaran untuk meraih mata untuk pasukan,” katanya.
Pertemuan menentang DPMM menjadi ujian penting buat Negeri Sembilan untuk membuktikan kemampuan mereka mengharungi jadual padat, selain memperbaiki prestasi dalam usaha mengutip mata berharga.