Majlis Sukan Negara (MSN) menubuhkan sebuah panel pakar baharu bagi program pembangunan bakat sukan berbasikal yang akan diketuai oleh Olimpian negara, M. Kumaresan, dalam usaha memperkukuh ekosistem pembangunan sukan berkenaan di peringkat akar umbi hingga kebangsaan.
Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin, berkata panel tersebut berperanan memberi nasihat strategik kepada MSN dalam membuat keputusan berkaitan pembangunan sukan berbasikal negara, termasuk usaha merapatkan jurang antara kem kebangsaan dan peringkat negeri.
“Penubuhan panel ini adalah langkah penting untuk memastikan kesinambungan pembangunan bakat dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan menyeluruh,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan Sukan SEA 2027, Jefri mendedahkan sebanyak 28 sukan telah mengemukakan rayuan untuk disenaraikan ke temasya berkenaan, selaras dengan usaha memastikan kontinjen negara berada dalam posisi terbaik untuk merealisasikan sasaran muncul juara keseluruhan.
Beliau berkata, keputusan muktamad mengenai senarai sukan yang akan dipertandingkan hanya akan diketahui selepas mesyuarat Persekutuan Sukan SEA yang dijadual berlangsung pada 16 Julai ini.
Sementara itu, Jefri turut hadir pada sesi jalinan penajaan sukan bersama persatuan sukan kebangsaan 2026, yang bertujuan menggalakkan badan sukan lebih aktif menarik minat penaja luar.
Menurutnya, MSN turut sedang meneliti penambahbaikan insentif kepada penaja termasuk cadangan meningkatkan pengecualian cukai yang kini berada dalam proses perbincangan.
“Ini adalah usaha berterusan untuk memastikan industri sukan negara lebih mampan dan mampu menarik lebih banyak pelaburan,” katanya.