Skip to main content

Permotoran

MotoGP: 'Negaraku' alunan Biduanita negara curi tumpuan

MotoGP: 'Negaraku' alunan Biduanita negara curi tumpuan
Advertisement

Alunan lagu kebangsaan Negaraku oleh Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, mencuri tumpuan pada upacara pembukaan Grand Prix Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang, sebelum pelumba Sepanyol, Marc Marquez, menghadiahkan aksi cemerlang dengan menjuarai perlumbaan utama MotoGP, hari ini.

Persembahan Siti Nurhaliza menerima tepukan gemuruh penonton yang membanjiri litar, sekali gus menyemarakkan suasana menjelang perlumbaan yang menjadi tumpuan peminat sukan permotoran dari dalam dan luar negara.

Advertisement

Kemunculan penyanyi tersohor negara itu memberikan sentuhan patriotik kepada acara berprestij berkenaan, dengan lagu Negaraku bergema di hadapan ribuan peminat yang hadir menyaksikan perlumbaan.

Namun, di atas litar, tumpuan beralih kepada Marc Marquez yang terus membuktikan kehebatannya apabila menjuarai perlumbaan utama 20 pusingan bersama Ducati Lenovo Team.

Advertisement

Marc menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 40 minit 14.236 saat, meninggalkan pelumba KTM, Pedro Acosta, di tempat kedua dengan perbezaan 4.172 saat.

Adiknya, Alex Marquez daripada Gresini Ducati, melengkapkan podium di tempat ketiga, ketinggalan 5.955 saat di belakang pemenang.

Bermula dari petak kedua, Marc melakukan permulaan cemerlang untuk memintas Alex yang memulakan perlumbaan dari petak pertama ketika kedua-duanya menuju ke Selekoh 1.

Alex bagaimanapun memberikan tentangan apabila cuba merampas semula kedudukan di hadapan, namun kesilapan ketika membrek di Selekoh 4 membolehkan Marc kembali menguasai perlumbaan.

Acosta pula memberikan tekanan kepada Alex dalam perebutan tempat kedua. Pelumba KTM itu akhirnya berjaya memintas Alex pada pusingan ke-10 selepas beberapa pusingan berusaha mencari ruang untuk melakukan serangan.

Ketika itu, Marc sudah membina kelebihan sekitar 1.7 saat di hadapan.

Walaupun Acosta cuba merapatkan jurang pada pertengahan perlumbaan, Marc bertindak balas dengan meningkatkan rentak untuk mengekalkan kelebihan sehingga melintasi garisan penamat.

Kemenangan itu merupakan kemenangan Grand Prix ketujuh Marc dalam musim 2026 dan kemenangan ke-80 beliau dalam kelas utama, sekali gus mengukuhkan peluangnya untuk merangkul kejuaraan dunia.

Acosta pula meneruskan prestasi konsisten selepas menjuarai perlumbaan pecut pada Sabtu, manakala Alex berjaya mempertahankan kedudukan ketiga daripada tekanan pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi.

Bezzecchi akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat keenam selepas turut bersaing dalam perebutan podium, manakala Ai Ogura berada di tempat keempat dan Enea Bastianini kelima.

Di luar persaingan di litar, edisi 2026 Grand Prix Malaysia turut mencatat sejarah dari segi kehadiran penonton.

Penganjur mengumumkan seramai 196,542 penonton hadir sepanjang tiga hari acara, sekali gus mencipta rekod baharu kehadiran bagi penganjuran MotoGP Malaysia.

Jumlah itu mengatasi kehadiran keseluruhan Grand Prix Indonesia di Mandalika yang merekodkan 157,875 penonton sepanjang tiga hari pada 9 hingga 11 Oktober lalu.

Perbezaan 38,667 penonton itu menyerlahkan sambutan luar biasa terhadap MotoGP di Malaysia.

Dengan persembahan patriotik Siti Nurhaliza, sokongan padu peminat dan kemenangan dominan Marc Marquez, edisi 2026 Grand Prix Malaysia melabuhkan tirainya dengan pelbagai detik menarik yang akan terus menjadi bualan peminat sukan permotoran.

Anda mungkin berminat dengan

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Must Watch Video