Harimau Malaya bukan lagi sekadar memerlukan 'suara keramat' pemain ke-12 apabila berkunjung ke Hanoi Rabu ini, namun 'keajaiban' adalah apa yang ditagih skuad kebangsaan ketika ini.
Adakah episod kemenangan Malaysia di Hanoi pada 2014 bakal berulang? Meskipun rata-rata pemain negara dibarisi skuad muda seperti Daryl Sham George, G. Pavithran, Muhammad Alif Ahmad, Faris Danish Mohd Asrul, selain Aysar Hadi Mohd Shapri dan Ibrahim Manusi yang melakukan debut semalam.
Malam tadi, Vietnam membawa bekalan selesa selepas menewaskan Harimau Malaya 2-0 dalam perlawanan separuh akhir pertama, Piala Hyundai ASEAN 2026 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Jaringan skuad Naga Emas hadir ketika kedua-dua pasukan sudah hampir masuk ke bilik persalinan menerusi 'tandukan terbang' penyerang naturalisasi berbisa, Rafaelson atau nama Vietnamnya Nguyen Xuan Son, dan jaringan sendiri Faris Danish pada penghujung perlawanan sudah menutup 90 minit pertama di laman sendiri itu.
Mampukah perkataan 'kebangkitan' dijelmakan skuad negara Rabu ini? Atau kemarau kemenangan 13 tahun di Hanoi akan diteruskan?
10 hari tempoh latihan, masalah pelepasan pemain dan kini masalah kecederaan membelenggu jurulatih interim skuad negara, Tan Cheng Hoe, selepas kehilangan khidmat Wan Kuzain Wan Kamal, Aliff Haiqal Lau, Jimmy Raymond, Engku Nuk Shakir, Fazrul Amir dan Endrick Dos Santos.
Satu perkara positif yang penulis lihat semalam, meskipun skuad negara hanya dipersiapkan dalam tempoh 10 hari, namun berjaya memberikan saingan kepada anak buah Kim Sang-sik yang menjalani latihan pusat hampir dua minggu di Incheon, Korea Selatan sebelum ini.
Ini menunjukkan tahap ketersediaan pemain muda negara yang diberikan peluang menyarung jersi skuad negara berada dalam kematangan mereka sendiri, boleh memberikan cabaran sengit dan kemungkinan faktor 'tuah', di mana kurang klinikal dihadapan gawang menjadi faktor jaringan tidak dapat dijelmakan jentera hadapan negara.
Selain itu, antara yang mencuri tumpuan malam tadi adalah Vietnam menurunkan empat pemain naturalisasi mereka antaranya Geovane Magno (Nguyen Ti Loc), Rafaelson Bezerra (Nguyen Xuan Son), Hendrio Araujo ( Do Hoang Hen) dan Patrik Le Giang (Penjaga gawang), sementara Paulo Josue, Sergio Aguero dan pemain sayap, Mohamadou Sumareh naturalisasi negara yang diturunkan.
Apa yang lebih mencuri tumpuan buat penyokong Malaysia, rata-rata penyokong bola sepak tanah air dihidangkan dengan kelincahan Pavithran selain kepantasan pemain sayap berusia 21 tahun itu yang wajar disenaraikan dalam skuad yang akan membarisi negara di pentas Piala ASEAN FIFA nanti, kerana kejohanan itu merupakan medan sebenar yang akan menguji bola sepak negara.
Apa-pun yang akan berlaku Rabu ini, selain harapan besar akan magis Cheng Hoe untuk melakar kebangkitan di Hanoi untuk mengembalikan reputasi, apa yang lagi besar adalah pengalaman yang diraih skuad muda negara di pentas Piala Hyundai ASEAN 2026 terlalu berharga.