Dalam wacana bola sepak tempatan, sedikit isu yang konsisten menghantui seperti masalah gaji tertunggak. Ia bukan cerita baharu, bukan juga kejutan bermusim -- tetapi realiti berulang yang seakan-akan telah dinormalisasikan dalam Liga Malaysia.
Setiap kali musim bermula, harapan dibina semula. Namun, di sebalik sorakan penyokong dan liputan media, terdapat lapisan krisis yang lebih sunyi -- pemain yang menunggu gaji, kelab yang bergelut menutup akaun, dan badan pentadbir yang terus mempertahankan naratif bahawa keadaan 'terkawal'.
Advertisement
Persoalannya: sampai bila?
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sering menegaskan bahawa isu gaji tertunggak semakin berkurang hasil pengenalan mekanisme kawalan kewangan seperti Financial Fair Play (FFP).
Di atas kertas, ini adalah perkembangan positif. Tetapi realiti di lapangan menunjukkan sesuatu yang lebih rumit apabila aduan pemain masih berlaku, walaupun tidak selalu didedahkan secara terbuka, kelab masih bergelut memenuhi komitmen asas manakala tindakan disiplin sering dilihat tidak konsisten.
Apa yang berlaku sebenarnya bukanlah penyelesaian -- tetapi pengurusan krisis secara berperingkat, tanpa menyentuh akar masalah.
Untuk memahami krisis ini, kita perlu melihat lebih dalam daripada sekadar angka kewangan.
Sebahagian besar kelab dalam Liga Malaysia tidak beroperasi sebagai entiti komersial sebenar. Kebergantungan kepada dana kerajaan negeri atau GLC serta kurang sumber pendapatan bebas seperti hak siaran, penajaan jangka panjang, dan jualan komersial masih belum mampu menjadi nadi utama penjanaan kewangan sesebuah kelab.
Dalam erti kata lain, mereka bukan 'bisnes bola sepak' namun hanyalah projek yang memerlukan suntikan dana berterusan.
Apabila sumber ini terganggu, gaji pemain menjadi mangsa pertama.
Walaupun sumber kewangan terhad, terdapat kecenderungan untuk, menawarkan gaji tinggi kepada pemain import, mengejar kejayaan jangka pendek sekaligus ia mengabaikan keseimbangan bajet kelab tersebut.
Ini mewujudkan situasi di mana kelab berbelanja seperti pasukan elit, tetapi beroperasi dengan asas kewangan yang rapuh.
Apabila sesebuah kelab gagal mematuhi pelesenan, menanggung hutang berpanjangan serta tidak cekap dalam pengurusan kewangan, maka bermula dengan penarikan diri daripada saingan sebelum pembubaran pasukan menjadi penamat yang hampir tidak dapat dielakkan.
Masalah gaji pemain mampu mencetuskan 'domino effect' yang cukup untuk merosakkan keseluruhan ekosistem.
Bermula dengan;
1) Pemain, individu penting yang menggerakkan saingan bola sepak hilang kestabilan kewangan, terpaksa menanggung tekanan mental dan emosi sekaligus ia menghadirkan kurang fokus terhadap prestasi.
2) Liga, kerancakkan serta kualiti melewati penurunan yang tidak dielakkan, penarikan diri Sri Pahang dan Kedah bagi musim 2025/2026 menyaksikan hilangnya 'seri' bola sepak Malaysia.
3) Reputasi di peringkat global, dengan nama negara Malaysia sudah menjadi tajuk utama berita antarabangsa dengan isu pemalsuan dokumen sebelum, kegagalan mengurus tadbir saingan bola sepak mampu menambah lebih banyak risiko terhadap tindakan daripada badan bola sepak dunia FIFA.
Dalam jangka panjang, ini bukan sekadar isu domestik -- ia menjejaskan kedudukan Malaysia dalam landskap bola sepak Asia.
Jalan keluar: Reformasi yang sukar tetapi perlu
Untuk memecahkan kitaran ini, reformasi tidak boleh bersifat separuh jalan. Ia mesti menyeluruh dan berani.
1. Had gaji yang realistik dan berasaskan pendapatan
Pelaksanaan salary cap perlu dikaitkan dengan pendapatan sebenar kelab dan dipantau oleh audit bebas. Ini bukan untuk menyekat pembangunan, tetapi untuk memastikan kelestarian.
2. Peralihan kepada model perniagaan
Kelab perlu berubah daripada entiti bergantung kepada organisasi berasaskan penjanaan hasil, strategi pemasaran yang agresif dan memiliki pengurusan profesional. Tanpa transformasi ini, masalah kewangan akan terus berulang.
3. Penguatkuasaan tanpa kompromi
Tiada reformasi yang berjaya tanpa disiplin, pihak berkuasa harus mengeluarkan langkah larangan pendaftaran pemain bagi kelab bermasalah, penalti kewangan dan pemotongan mata dan penyingkiran liga untuk kes serius.
Ketegasan ini mungkin menyakitkan dalam jangka pendek -- tetapi perlu untuk kelangsungan jangka panjang.
4. Pelaburan dalam pembangunan tempatan
Mengurangkan kebergantungan kepada pemain import mahal dan dengan itu, memperkukuh akademi harus menjadi tunjang setiap kelab, ia akan membantu memberikan peluang kepada bakat muda malah mewujudkan sistem pembangunan yang mampan. Ini bukan sahaja menjimatkan kos, tetapi juga membina identiti bola sepak negara.
Isu gaji dalam Liga Malaysia bukan lagi persoalan yang tidak diketahui semua. Setiap individu yang terlibat haruslah mempunyai keberanian untuk mengubah struktur, menguatkuasakan disiplin dan menolak pendekatan lama yang tidak lagi relevan.
Selagi reformasi dilakukan secara separuh hati, selagi itu krisis ini akan terus berulang -- dengan wajah dan nama yang berbeza, tetapi cerita yang sama.
Bola sepak Malaysia tidak kekurangan bakat, penyokong, atau potensi namun apa menjadi persoalan ialah sama ada kita benar-benar bersedia untuk berubah -- atau sekadar menjadi penonton kepada kitaran yang kita sendiri enggan hentikan.
Soalnya, apakah pihak berwajib, pembuat dasar, penganjur liga dan semua pemegang taruh memiliki iltizam untuk menghentikan kitaran ganas ini?